Anda di sini

Nelayan terpaksa memindahkan bot ke jalan raya

Advertisement
 Lee (tiga kanan) meninjau kerja-kerja memindahkan bot nelayan ke atas jalan raya utama.
PINDAH: Lee (tiga kanan) meninjau kerja-kerja memindahkan bot nelayan ke atas jalan raya utama.

MIRI: Kejadian air pasang besar malam kelmarin memaksa para nelayan di Kampung Batu Satu di sini memindahkan kira-kira 20 bot mereka ke atas jalan raya utama Kuala Baram berikutan tempat penyimpanan bot ditenggelami air.

Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin yang menerima panggilan daripada penduduk kampung dan nelayan yang memaklumkan mengenai kejadian itu bergegas melakukan tinjauan ke lokasi.

Menurutnya, beliau kemudian menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membantu menutup separuh jalan buat sementara waktu.

“Sekatan jalan raya dibuat malam tadi (kelmarin) di hadapan Kampung Senadin Jaya oleh JKR bagi menyekat kereta dari memasuki jalan raya di Kampung Batu Satu.

“Ia berbahaya bukan hanya kerana paras air telah naik, tetapi juga terdapat bot nelayan dari Pasar Ikan Kampung Batu Satu yang dipindahkan ke atas jalan raya disebabkan kejadian ombak dan air pasang besar,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Selain itu, Lee turut menghubungi dan menyelaras bersama pihak JKR Miri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Miri, Majlis Bandaraya Miri (MBM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan agensi-agensi lain yang berkaitan untuk membantu penduduk kampung.

“Dua keluarga terdiri daripada empat orang dewasa dan empat kanak-kanak yang tinggal di kawasan itu dipindahkan ke Dewan Serba Guna Kampung Batu Satu dengan bantuan bomba dan saya turut meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan APM Miri untuk menjaga mangsa,” ujarnya.

Sementara itu, Lee menasihati orang ramai terutama mereka yang tinggal di kawasan yang berisiko tinggi dilanda banjir agar sentiasa berjaga-jaga dan kekal selamat.

“Orang ramai boleh menhubungi bomba, polis atau APM di talian 999 jika memerlukan bantuan atau Bomba Miri di talian 085-422973,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau juga mengingatkan orang ramai agar berhati-hati terhadap jangkitan COVID-19 dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berikutan Miri kini kategori Zon Merah dengan peningkatan jumlah kes positif secara mendadak.

  • oleh
  • Advertisement