Anda di sini

‘MSU Sg Damansara National River Trail Project’ dilancarkan

Advertisement
 Tetamu kehormat melakukan simbolik pelancaran program ‘MSU Sg Damansara National River Trail Project.’
SIMBOLIK: Tetamu kehormat melakukan simbolik pelancaran program ‘MSU Sg Damansara National River Trail Project.’

KUCHING: Aspek pembangunan kelestarian alam sekitar merupakan antara agenda penting dalam pembangunan komuniti khasnya dan negara amnya.

Malahan kepentingan tersebut turut merentasi peringkat global apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut menyokong pelaksanaan aktiviti apresiasi alam sekitar melalui Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG).

Justeru, kerjasama strategik di antara Management and Science University (MSU) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia yang dimeterai melalui majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada Ogos tahun lalu diteruskan dengan pelancaran program ‘MSU Sg Damansara National River Trail Project’ di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Hadir menjayakan program berkenaan ialah Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Presiden MSU Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab. Yajid serta barisan pengurusan kanan MSU, KASA, JPS dan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

Kerjasama di antara MSU dan JPS yang merupakan jabatan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) merangkumi aspek penyelidikan, pembangunan dan inovasi; aspek hidrologi dan sumber air, program pengurusan sungai dan koridor sungai untuk kelestarian alam sekitar; aspek perundingan dan khidmat nasihat; aspek latihan dan kemahiran kepada staf MSU dan JPS serta aspek penerbitan dan penulisan jurnal berimpak tinggi.

‘MSU Sg Damansara National River Trail Project’ yang juga memberikan tumpuan khusus kepada SDG-15 iaitu Hidupan di Daratan (Life of Land) merupakan projek perintis dalam menjalankan aktiviti-aktiviti pembangunan apresiasi alam sekitar yang dirancang di sepanjang denai Sungai Damansara.

Sebagai permulaan, sebanyak 15 projek  pembangunan bakal dilaksanakan dalam tempoh setahun meliputi sepanjang empat kilometer di belakang kampus dan hospital universiti termasuk laluan joging, tempat laluan dan rekreasi untuk masyarakat, projek keusahawanan serta penanaman tumbuhan-tumbuhan perubatan.  

Ia melibatkan penyertaan pelbagai komuniti termasuk pensyarah, pelajar dan masyarakat setempat.

Aktiviti gotong-royong pembersihan sekitar Sungai Damasara melibatkan penyertaan kira-kira 300 sukarelawan yang terdiri daripada kakitangan MSU, KASA, JPS serta pelajar dan alumni.

Kemuncak ‘MSU Sg Damansara National River Trail Project’ ialah penanaman pokok jenis ‘Weeping Willow’ (Salix Babylonica) sebagai simbolik pelancaran oleh Zaini dan Mohd Shukri.

MSU dalam menjalankan aktiviti bertema alam sekitar adalah bermatlamat untuk menyokong inisiatif SDG khasnya.  

Antara projek yang telah dijalankan sebelum ini termasuk ‘MSU Environmental and Sustainability Project (MESP): MSU My Mountain Project’ di Gunung Nuang, Selangor; projek ‘Eco-Marine, MSU My Coral’ di Teluk Geluk, Terengganu serta program ‘The Largest Mudball-Throwing Event of River Revival’ yang merupakan rekod dalam The Malaysia Book of Records.

Pelaksanaan pelbagai aktiviti ini menyaksikan ia telah disenaraikan  dalam kalangan 401+ university terbaik dunia dalam ‘Times Higher Education University Impact Ranking 2020’ kerana menyokong inisiatif PBB dalam menjayakan matlamat pembangunan lestari (SDG).

Advertisement