Anda di sini

MR D.I.Y. hasilkan filem web, jayakan kembali kempen ‘You Share, We Donate’

Advertisement
 SetiausahaAgung MRA Dr Shahrizal Azwan Samsudin (kiri) bersama Presiden MRA Dr Mohd Daud Sulaiman menunjukkan sumbangan baucar tunai sebanyak RM4,220.
SUMBANGAN: SetiausahaAgung MRA Dr Shahrizal Azwan Samsudin (kiri) bersama Presiden MRA Dr Mohd Daud Sulaiman menunjukkan sumbangan baucar tunai sebanyak RM4,220.

KUCHING: MR D.I.Y. Group (M) Berhad telah menghasilkan sebuah filem web berinspirasikan kisah sebenar bertajuk ‘Inseparable’ dan menjayakan kembali kempen ‘You Share, We Donate’ sebagai tanda sokongan kepada Malaysian Relief Agency (MRA) dalam usaha memberi penghargaan serta bantuan kepada petugas barisan hadapan.

Menurut Naib Presiden Pemasaran MR D.I.Y. Andy Chin, filem web tiga minit itu menggambarkan kesukaran petugas barisan hadapan dan orang kesayangan mereka ketika musim perayaan.

“Petugas barisan hadapan telah bekerja keras sejak bermulanya pandemik COVID-19 dan mereka merupakan sumber inspirasi yang mendorong kami untuk berkhidmat lebih baik untuk komuniti.

“Kami berharap sumbangan ini dapat memberi keceriaan kepada penerima sumbangan dari MRA,” ujar beliau dalam kenyataan semalam.

Katanya, MR D.I.Y. mengajak orang ramai untuk mengongsikan filem web yang dimuat naik di laman Facebook rasmi mereka @MR DIY fan dan peruncit tempatan itu kemudiannya akan menyumbang RM1 dengan setiap perkongsian filem web kepada MRA, sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

“Hasilnya, filem web MR D.I.Y. meraih 3.9 juta tontonan dan 4,220 perkongsian selepas kempen selama tiga minggu pada Disember yang seterusnya menghasilkan sumbangan baucar tunai sebanyak RM4,220 kepada MRA.

“Selain menyalurkan pelitup muka dan kelengkapan perlindungan diri sebelum ini, kempen ‘You Share, We Donate’ merupakan alternatif kami bagi menghargai jasa petugas barisan hadapan yang telah banyak berkorban demi negara,” tambah Chin.

Dalam semangat #KitaJagaKita, MR D.I.Y. juga mengingatkan rakyat supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan seboleh-bolehnya duduk di rumah.

Advertisement