Anda di sini

KPDNHEP beri jaminan bekalan barang keperluan di Miri mencukupi

Advertisement
 Joe Azmi (kiri) dan seorang anggota penguatkuasanya melakukan pemeriksaan ke atas bekalan barang keperluan di sebuah premis perniagaan di Miri, kelmarin.
PERIKSA: Joe Azmi (kiri) dan seorang anggota penguatkuasanya melakukan pemeriksaan ke atas bekalan barang keperluan di sebuah premis perniagaan di Miri, kelmarin.

MIRI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Miri memberi jaminan bahawa bekalan barang keperluan untuk bahagian ini adalah mencukupi.

Sehubungan itu, Ketua Cawangannya Joe Azmi Jamil menasihati para pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuat kuasa mulai semalam.

Katanya, hasil pemeriksaaan pihak KPDNHEP ke atas beberapa premis perniagaan di sekitar bandar raya Miri kelmarin mendapati stok semasa bagi 25 jenis item yang disenaraikan oleh pihak ibu pejabat mengikut kategori seperti barangan kering, barangan segar, minuman dan lain-lain adalah mencukupi untuk menampung permintaan pengguna.

“Stok semasa bagi barangan seperti pelitup muka sebanyak 100,500 keping, cecair pensanitasi tangan (50,210 botol), gula (343.64 tan metrik), beras (19,976.397 tan metrik), tepung gandum (70 tan metrik), minyak masak (55.30 tan metrik) dan ayam bersih (17,000 kilogram).

“Jadi tak perlulah melakukan pembelian panik kerana semua bekalan untuk barang keperluan adalah mencukupi untuk menampung keperluan para pengguna di bahagian Miri,” ulangnya.

Dalam pada itu menurut Joe Azmi, hasil pemeriksaan yang sama pihaknya mendapati semua premis perniagaan di sini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Justeru menurut beliau, pihaknya akan terus melakukan pemeriksaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan stok semasa barang keperluan sentiasa mencukupi.

Advertisement