Anda di sini

Bandar Tawau lengang, penduduk patuh SOP

Advertisement
PETRUS
PETRUS

TAWAU: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diarahkan oleh pihak kerajaan bermula Rabu menyebabkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah mengadakan Sekatan Jalan Raya (SJR) bagi mengelak orang ramai bergerak tanpa alasan munasabah.

Tinjauan Utusan Borneo di kawasan bandar Tawau mendapati keadaan lalu lintas agak lengang, kenderaan kurang bergerak dan banyak kedai-kedai yang tidak beroperasi.

Pengerusi Komuniti Toraja Malaysia (PKTM) Tawau Petrus Bernard berkata, SJR yang dikoordinasi PDRM ini sangat bertepatan dalam usaha mengurangkan pergerakan orang ramai.

"Dalam beberapa bulan lalu, penduduk bebas bergerak termasuk bercuti ke luar daerah dan negeri sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan kes positif di negeri ini.

"Penduduk seolah-olah sudah menjadi ejen penyebar wabak dan apa yang berlaku ketika ini hampir setiap hari di seluruh negara mencatatkan kes empat angka, malah kes kematian juga kian meningkat," katanya.

Beliau berkata, penutupan premis bukan keperluan juga merupakan langkah yang mampan supaya orang ramai kurang bergerak tanpa sebab yang mustahak.

"Perniagaan memang penting untuk pembangunan ekonomi negara, namun kita semua tidak kira siapa pun perlu berkorban seketika demi memutuskan rantaian wabak.

"Sekiranya keadaan sudah terkawal dan penularan wabak dapat dilandaikan, kita sudah boleh bebas melakukan aktiviti perniagaan untuk memulihkan semula ekonomi kita," katanya.

Petrus optimis bahawa pelaksanaan PKP yang dibuat pihak kerajaan khasnya enam negeri tertinggi kes wabak dan pelaksanaan SJR adalah tindakan yang tepat demi menyelamatkan nyawa rakyat di negara kita.

HARIPIN
HARIPIN

Penduduk Haripin Acho, 32, berkata, hari pertama PKP ini keadaan lalu lintas tidak sesak seperti sebelumnya, namun di laluan SJR menuju ke bandar pergerakan perlahan kerana anggota keselamatan mengadakan pemeriksaan keatas kenderaan yang lalu.

"Orang ramai juga masih keluar untuk membeli barang keperluan kerana setakat ini prosedur operasi standard (SOP) PKP tidak menghalang sebarang pergerakan di dalam daerah.

"PKP yang dilaksanakan selama 14 hari ini dilihat sangat baik kerana dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas dan boleh melandaikan kes COVID-19 di daerah ini," katanya.

Beliau berkata, jika dilihat beberapa minggu sebelum ini kesesakan lalu lintas disebabkan orang ramai pergi berurusan di bangunan kerajaan seperti di Pusat Transformasi Bandar (UTC), KWSP dan JPJ.

"Dengan adanya pelaksanaan PKP ini semua bangunan kerajaan tersebut ditutup sekaligus tidak berlaku kesesakan seperti sebelum ini," katanya.

Menurutnya, sepanjang PKP ini premis-premis yang bukan dikategorikan keperluan perlu juga tidak beroperasi dan ianya salah satu langkah terbaik supaya tidak berlakunya pergerakan orang awam.

"Saya berharap semua masyarakat akur dengan tindakan kerajaan dan beri kerjasama yang sewajarnya supaya wabak COVID-19 ini dapat dikurangkan serta daerah Tawau kembali kepada zon hijau," katanya.

 Keadaan lalu lintas di bandar Tawau lengang dan premis banyak tidak beroperasi.
LENGANG: Keadaan lalu lintas di bandar Tawau lengang dan premis banyak tidak beroperasi.
  • oleh
  • Advertisement