Anda di sini

Ahli perniagaan sokong PKP dikuatkuasakan

Advertisement
LO FUI MING
LO FUI MING

TAWAU: Golongan ahli perniagaan menyambut baik dan menyokong tindakan kerajaan untuk menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri-negeri yang mempunyai kadar peningkatan kes COVID-19 termasuk di Sabah.

Ahli perniagaan, Datuk Lo Fui Ming berkata tindakan kerajaan itu dibuat berdasarkan keperluan dan mengambil kira pandangan pakar-pakar kesihatan awam, keselamatan, ekonomi serta orang awam.

"Bagaimanapun kerajaan turut prihatin dengan para peniaga kerana sektor-sektor penting dibenarkan beroperasi iaitu pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan, pengedaran, perladangan dan komuniti.

"Dengan beroperasinya sektor-sektor penting ini, tiada istilah orang ramai akan terjejas pendapatan kerana syarikat-syarikat tetap boleh bertahan seiring pertumbuhan ekonomi negara,"katanya ketika dihubungi, di sini.

Lo menggesa semua masyarakat harus terus mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP), menjaga kebersihan dan menjaga jarak fizikal demi memutuskan rantaian wabak COVID-19.

"Rakyat tidak perlu risau kerana kerajaan akan terus memberikan bantuan yang sesuai termasuklah Bantuan Prihatin Nasional (BPN) dan bakul-bakul makanan,"katanya.

Beliau berkata, sebagai ahli perniagaan sangat bersyukur kerana kerajaan sangat prihatin dalam membantu para peniaga dengan membenarkan sektor-sektor utama ekonomi beroperasi.

"Sekiranya sektor ekonomi disekat, sudah pasti banyak perusahaan kecil dan sederhana yang akan terjejas serta menutup perniagaannya, malah lebih ramai rakyat yang menganggur.

"Jika ramai yang tidak bekerja akan mengakibatkan kes jenayah dan masalah sosial berlaku sekaligus dapat mengancam keselamatan awam serta kehidupan yang harmoni,"katanya.

  • oleh
  • Advertisement