Anda di sini

AC Milan berjaya melangkah ke suku akhir Piala Itali

Advertisement
 Calhanoglu (kanan) menjaringkan gol penalti mengatasi penjaga gol Torino Vanja Milinkovic-Savic (kiri) pada masa tambahan perlawanan Piala Itali antara AC Milan mementang Torino di stadium San Siro, Milan, kelmarin.  — Gambar AFP
PENENTUAN: Calhanoglu (kanan) menjaringkan gol penalti mengatasi penjaga gol Torino Vanja Milinkovic-Savic (kiri) pada masa tambahan perlawanan Piala Itali antara AC Milan mementang Torino di stadium San Siro, Milan, kelmarin. — Gambar AFP

MILAN: Zlatan Ibrahimovic bermula dalam kesebelasan utama yang pertama beliau sejak tujuh minggu tetapi AC Milan dipaksa berhempas pulas untuk melangkah ke peringkat suku akhir Piala Itali dengan kemenangan 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Torino selepas terikat tanpa jaringan sehingga masa tambahan pada Selasa.

Hakan Calhanoglu menjaringkan penalti kemenangan selepas Tomas Rincon gagal menyempurnakannya untuk Torino di San Siro, setelah 120 minit permainan tanpa sebarang gol.

“Ia saingan sukar tetapi Milan tidak pernah mengalah, kami adalah sebuah pasukan untuk 120 minit,” kata jurulatih Milan, Stefano Pioli.

“Pemain menyebabkan saya berasa bangga, dengan cara mereka berlatih dan komitmen dalam padang.

“Anda boleh melihat saya berasa gembira di Milan. Pasukan ini membanggakan saya dan apabila anda sangat gembira, anda mempunyai keyakinan.”

Ibrahimovic membuat penampilan lewat ketika kemenangan 2-0 ke atas Torino dalam aksi Serie A Itali hujung minggu lepas, setelah berehat panjang sejak 22 November kerana kecederaan.

“Saya mahu memberikan Ibra masa yang lebih lama selepas kembali beraksi,” kata Pioli.

“Beliau bermain dengan baik dan ini akan membantu beliau meningkatkan kecergasannya.”

Pada Selasa, Ibrahimovic, 38, bermain dalam separuh masa pertama sebelum ditukar dengan Calhanoglu.

Torino memberikan Milan saingan yang lebih kuat berbanding perlawanan Sabtu lepas, dengan kedua-dua pasukan mensia-siakan peluang terbaik untuk membuka jaringan.

Ciprian Tatarusanu bermula di pintu gol Milan, menggantikan penjaga gol utama, Gianluigi Donnarumma sementara pemain pertahanan, Mateo Musacchio bermain buat kali pertama dalam tempoh hampir setahun.

Tatarusanu beraksi tangkas menepis cubaan Simone Zaza dan Amer Gojak sementara penjaga gol Torino, Vanja Milinkovic-Savic, berjaya menepis cubaan Rafael Leao dan Davide Calabria.

Brahim Diaz mempunyai peluang terbaik untuk Milan, empat minit sebelum tamat permainan tetapi rembatan penyudah beliau melambung tinggi.

Milan akan bertemu sama ada kelab jiran, Inter atau Fiorentina di suku akhir kejohanan.

Juara bertahan, Napoli bermain lewat menentang Empoli sementara Juventus menentang Genoa. — AFP

Advertisement