Anda di sini

Sarawak rekod 166 kes positif COVID-19, kes harian tertinggi setakat ini

Advertisement
Ujian saringan dijalankan di Sibu
Ujian saringan dijalankan di di Stadium Tertutup Sibu, baru-baru ini.

KUCHING: Sarawak merekodkan 166 kes positif baharu COVID-19 yang merupakan tertinggi setakat ini sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri ini meningkat kepada 1,740 kes.

Pada 11 Januari, Sarawak turut merekodkan 153 kes positif COVID-19 yang tertinggi direkodkan setakat itu.

"Hari ini terdapat 166 kes positif COVID-19 dikesan di Sarawak iaitu dengan 94 kes di Sibu, Miri (48), Kuching (15), Beluru (4), Bintulu (3), Belaga (1) dan Samarahan (1).

"Bagi kes di Sibu, 88 kes adalah yang disaring melibatkan Kluster Pasai sementara empat kes disaring melibatkan kontak kepada kes positif dan dua kes melibatkan lain-lain saringan COVID-19," kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menerusi kenyataan, hari ini.

Di Miri, daripada 48 kes dikesan, tujuh adalah disaring balik dari kawasan berisiko jangkitan COVID-19, empat kes yang disaring dari Kluster Sayap, tiga kes disaring melibatkan Kluster Pasai, satu kes melibatkan Kluster Stutong, satu kes individu baru balik dari luar negara dan 32 kes melibatkan lain-lain saringan COVID-19.

"Di Kuching, hari ini 15 kes, iaitu 10 daripadanya disaring balik dari kawasan berisiko jangkitan COVID-19, dua kes yang disaring melibatkan Kluster Stutong, satu kes melibatkan Kluster Keranji Tabuan dan dua kes melibatkan lain-lain saringan COVID-19.

"Beluru mencatatkan empat kes semuanya saringan melibatkan kontak kepada kes positif COVID-19. Manakala di Bintulu tiga kes dikesan dengan dua daripadanya kes disaring melibatkan kontak kepada kes positif serta satu kes disaring balik dari kawasan berisiko jangkitan COVID-19," katanya.

JPBNS berkata, sementara di Samarahan satu kes direkodkan hari ini melibatkan Kluster Stutong dan satu kes di Belaga melibatkan Kluster Pasai.

Jawatankuasa berkata hari ini juga sebanyak 268 kes orang yang disyaki dilaporkan dan 53 PUI masih menunggu keputusan ujian makmal.

Dalam pada itu, JPBNS memberitahu daerah Kuching, Sibu dan Miri kekal berstatus merah, hari ini dengan sejumlah 499 kes jangkitan tempatan dilaporkan di tiga daerah berkenaan dalam tempoh 14 hari, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Jawatankuasa berkata, manakala daerah Sebauh kekal berstatus jingga dengan 21 kes. 

"Bagi daerah Beluru, Dalat, Selangau, Samarahan, Sri Aman, Bukit Mabong, Meradong, Bintulu serta Limbang kekal berstatus kuning dengan jumlah keseluruhan 34 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.

"Manakala 27 daerah lain kekal berstatus hijau," katanya.

Mengenai kluster yang masih aktif, JPBNS memberitahu hari ini tujuh kluster COVID-19 yang masih aktif iaitu Kluster Bukit Sekubong di Sebauh, Kluster Jelita (Miri), Kluster Pasai (Sibu), Kluster Keranji Tabuan (Kuching), Kluster Bah Sayap (Miri), Kluster Stutong (Kuching) dan Kluster Mador (Meradong).

Jawatankuasa berkata terdapat empat kes baharu yang pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini dari Hospital Miri hari ini.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj meningkat kepada 1,122 orang atau 64.48 pratus dari jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Sarawak.

"Hari ini, seramai 307 orang di bawah pengawasan atau PUS telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin, menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 52 buah hotel dan bukan hotel adalah seramai 6,123 orang.

"Manakala seramai 51,217 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin," katanya.

Sementara itu, bagi notis kompaun yang dikeluarkan, sehingga hari ini polis telah mengeluarkan sebanyak 20 kompaun dengan 15 adalah di Kuching, Samarahan (4) dan Padawan (1) kerana telah melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Advertisement