Anda di sini

Rasuah: Bekas ketua penolong setiausaha kanan MOA didakwa

Advertisement
 Shahrulzaman hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung pemberian tender pembekalan dan penghantaran baja bio kepada beberapa syarikat, tahun lalu. — Gambar Bernama
KE MUKA PENGADILAN: Shahrulzaman hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung pemberian tender pembekalan dan penghantaran baja bio kepada beberapa syarikat, tahun lalu. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Seorang bekas ketua penolong setiausaha kanan sebuah kementerian didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berhubung pemberian tender pembekalan dan penghantaran baja bio kepada beberapa syarikat, tahun lalu.

Shahrulzaman Jaafar, 43, yang kini memegang jawatan Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Selatan, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang ketika kejadian merupakan pegawai di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) didakwa meminta suapan iaitu wang berjumlah RM2 juta daripada Wan Nor Izham Wan Nashar.

Ia sebagai upah kerana telah membantu lelaki itu mendapatkan tender membekal dan menghantar baja bio dengan mikrob tempatan bermanfaat di bawah Skim Insentif Pengeluaran kepada tiga syarikat, Endona Corporation Sdn Bhd, Qamari Consultancy Sdn Bhd dan Borneo Natura Sdn Bhd; keseluruhannya berjumlah RM118,165,171.65 di sebuah kedai makan di Jalan Berjasa, di sini, sekitar bulan Februari tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua, Shahrulzaman didakwa menerima suapan berjumlah RM85,000 daripada Wan Nor Izham melalui sebuah akaun bank yang didaftarkan dengan nama SZA Niaga, sebagai upah membantu lelaki itu mendapatkan tender kepada tiga syarikat sama di Maybank cawangan Taman Setiawangsa pada 10 pagi, 30 Julai tahun lalu.

Tertuduh juga didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM40,000 daripada Hazrul Hisyam Hassan sebagai upah bagi dirinya, kerana membantu lelaki itu mendapatkan tender sama kepada syarikat KIIK Resources Sdn Bhd, dengan nilai keseluruhan berjumlah RM37,478,572.55 di hadapan sebuah hotel di Jalan Klang Lama pada 12 tengah hari, 17 Ogos tahun lalu.

Kesemua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan, dengan mengambil kira keseriusan kesalahan yang dilakukan tertuduh.

“Pihak pendakwaan juga memohon beberapa syarat tambahan dikenakan iaitu tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai dan tidak mengganggu serta berkomunikasi dengan saksi kes, atau jaminannya akan ditarik balik,” katanya.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Azizul Shariman Mat Yusoff memohon jumlah jaminan rendah, atas alasan anak guamnya yang masih bekerja di INTAN tidak akan melarikan diri kerana perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah, masih perlu melapor diri di pejabatnya di INTAN setiap hari dan telah memberi kerjasama baik sepanjang siasatan oleh pihak SPRM.

Azura kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM60,000 dengan dua orang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan, selain membenarkan kesemua syarat tambahan yang dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 24 Februari depan untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement