Anda di sini

Polis tumpas sindiket, rampas dadah bernilai RM125.8 juta

Advertisement
 Razarudin (tiga kanan) dan Ayob (empat kanan) melihat pelbagai jenis dadah yang dirampas menerusi 16 serbuan di bandaraya Johor Bahru pada 9 dan 10 Januari lepas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, dekat Johor Bahru semalam. — Gambar Bernama
TUMPAS: Razarudin (tiga kanan) dan Ayob (empat kanan) melihat pelbagai jenis dadah yang dirampas menerusi 16 serbuan di bandaraya Johor Bahru pada 9 dan 10 Januari lepas pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, dekat Johor Bahru semalam. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Polis Johor menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah melibatkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM125.8 juta menerusi 16 serbuan di bandar raya ini pada 9 dan 10 Januari lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berkata, serbuan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Johor itu, sekali gus merekodkan antara rampasan terbesar dalam negara.

Katanya, serbuan bermula pada jam 2.45 petang hingga 6.40 petang itu, antaranya turut dilakukan di dua buah stor penyimpanan dan dua makmal memproses dadah.

Menurutnya, sebanyak 72.61 kilogram (kg) syabu, 12.81kg serbuk Ecstacy, 5.44kg ganja, 3.723 juta pil Erimin, 5.398 juta biji pil Ecstacy, empat gram (g) heroin, 28g ketamin, 8,553g jus manggo dan 969.15kg serbuk dadah, yang mana kesemuanya dipercayai boleh dibekalkan kepada 5.4 juta penagih untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Razarudin berkata lapan lelaki tempatan dan tujuh wanita tempatan berusia 17 hingga 62 tahun, termasuk ketua sindiket berumur dalam lingkungan 30-an turut ditahan dalam serbuan itu.

“Kita percaya sindiket ini beroperasi sejak awal tahun dengan permintaan tinggi, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Seperti ketamin kebanyakannya di seludup dari India dan Pakistan, tetapi disebabkan sekatan-sekatan macam Ops Benteng di lapangan terbang dan sebagainya, serta permintaan yang tinggi, sindiket ini cuba memproses dadah sendiri,” katanya kepada pemberita dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, di sini, semalam.

Beliau berkata turut dirampas adalah enam buah mesin dan alatan memproses dadah, yang mana mesin berkenaan dipercayai mampu memproses sebanyak 300,000 biji dadah dalam tempoh tiga hari.

“Selain itu, 13 buah kenderaan mewah, sebuah motosikal kawasaki, wang tunai RM2.28 juta, pelbagai mata wang berjumlah RM284,939, satu kilogram jongkong emas, 41 barang kemas dan empat utas jam tangan Rolex juga turut ditemui, dengan keseluruhan nilai sitaan RM5.43 juta,” katanya.

Razarudin berkata siasatan akan diteruskan, bagi menjejaki suspek yang turut terlibat dalam sindiket berkenaan serta kemungkinan terdapat perancang utama.

Dalam masa sama, hasil ujian saringan mendapati tiga daripada 15 suspek yang ditahan positif methamphetamine, serta mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 10 Januari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu di Parit, dipercayai kerana mahu mengelak bangkai babi, seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Km5 Jalan Kampung Gajah-Tanjung Tualang dekat sini, semalam.

Dalam kemalangan kira-kira 7.40 pagi itu, Jamaludin Abdullah, 29, maut di tempat kejadian selepas mengalami cedera parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Supt Barudin Wariso berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menaiki kereta jenis Proton Wira dipercayai memandu dari Tanjung Tualang menghala ke Kampung Gajah.— Bernama

Advertisement