Anda di sini

Polis Sabah akan cadang longgar radius 10 kilometer

Advertisement
 Hazani bersama Haris memantau pergerakan pengguna jalan raya yang melalui SJR di sini.
SJR: Hazani bersama Haris memantau pergerakan pengguna jalan raya yang melalui SJR di sini.

PENAMPANG: Polis Sabah akan mencadangkan untuk memberi kelonggaran berhubung perjalanan melebihi radius 10 kilometer (KM) kepada masyarakat di kawasan tertentu di negeri ini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, beliau akan mencadangkan perkara itu pada mesyuarat jawatankuasa bencana negeri untuk dipertimbangkan.

"Kita melihat kepada keperluan penduduk di beberapa daerah yang perlu merentas daerah untuk mendapatkan bekalan keperluan harian selain kekangan jarak yang agak luas di beberapa daerah di pedalaman.

"Sebagai contoh penduduk Sabindo, di sini, terpaksa turun ke Putatan untuk mendapatkan bekalan berbanding perjalanan lebih jauh ke pekan Papar.

"Begitu juga dengan penduduk di kawasan Tongod, yang terpaksa merentasi daerah ke Telupid untuk mendapatkan bekalan makanan," katanya ketika ditemui media selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Penampang - Papar Lama.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Hazani berkata, untuk pengesahan, orang awam boleh membawa bukti tempat tinggal seperti bil air ataupun bilik elektrik untuk ditunjukkan ketika pemeriksaan SJR.

Dalam perkembangan berasingan, Hazani berkata, beliau menyokong untuk mengekalkan Op Benteng bagi mengekang kemasukan pendatang tanpa izin (PTI) masuk ke negara ini.

"Cubaan menceroboh masuk sentiasa ada dan baru-baru ini Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan satu bot di Semporna selepas didapati membawa sejumlah minyak untuk diseludup keluar ke negara jiran.

"Kita akan sokong untuk mengekalkan Op Benteng dengan kerjasama pelbagai agensi keselamatan lain bagi memastikan tiada pencerobohan masuk pihak luar ke sini seterusnya mengekang penularan COVID-19 daripada PTI," katanya.

  • oleh
  • Advertisement