Anda di sini

Lelaki didenda, pecah cermin kereta ayah guna lesung batu 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki bekerja sendiri didenda RM3,500 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memecahkan cermin kereta milik ayahnya menggunakan anak lesung batu dalam satu kejadian, awal Januari lalu. 

Majistret Syarifah Fatimah Wan Ali juga mengarahkan Jannis Teng, 34, untuk dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.  

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut didakwa melakukan khianat dengan memecahkan cermin belakang dan hadapan kereta milik mangsa berusia 56 tahun menggunakan anak lesung batu pada 2 Januari lalu, jam lebih kurang 3 pagi di kediaman mereka di Taman Malihah Matang, dekat sini. 

Jumlah kerugian dianggarkan bernilai sekitar RM1,554. 

Berdasarkan keterangan kes, mangsa terdengar bunyi hentakan kuat dari luar rumah dan apabila dia keluar memeriksa keadaan tersebut, tertuduh didapati sedang memecahkan cermin belakang kereta miliknya. 

Mangsa kemudian mendapati tertuduh telah memecahkan cermin hadapan kereta, selain memecahkan dua buah cermin tingkap rumah mereka.  

Mangsa yang tidak tahu punca anak lelakinya bertindak demikian seterusnya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. 

Tertuduh seterusnya didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya jika disabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 
 

  • oleh
  • Advertisement