Anda di sini

FAM batal kem latihan skuad negara

Advertisement
 Hamidin (dua, kanan) ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-12 Bagi Sesi 2017-2021 di Wisma FAM semalam. Turut serta Timbalan Presiden (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi (dua, kiri), Naib Presiden (FAM) Datuk Ab Ghani Hassan (kanan)  dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam (kiri). — Gambar Bernama
SIDANG MEDIA: Hamidin (dua, kanan) ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-12 Bagi Sesi 2017-2021 di Wisma FAM semalam. Turut serta Timbalan Presiden (FAM) Datuk Mohd Yusoff Mahadi (dua, kiri), Naib Presiden (FAM) Datuk Ab Ghani Hassan (kanan) dan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam (kiri). — Gambar Bernama

PETALING JAYA: Pasukan bola sepak negara terpaksa menunggu lebih lama untuk menjalani latihan berpasukan menjelang pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 yang akan bermula Mac depan selepas kem latihan pusat skuad kebangsaan yang dijadualkan bulan ini dibatalkan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin berkata pembatalan itu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam negeri untuk tempoh 14 hari bermula hari ini.

Jelasnya FAM turut melihat beberapa pilihan termasuk mengadakan kem latihan pusat di negeri yang tidak terlibat dengan PKP, antaranya Perlis dan Sarawak namun berdepan pelbagai kesukaran dari sudut teknikal.

“Kita prihatin dan perlu akur dengan apa diputuskan kerajaan kerana kesihatan adalah mustahak. Bagi pihak seketariat akan menyediakan beberapa pilihan jika perkara ini berlanjutan.

“Kita juga berbincang mengenai cadangan memindahkan kem latihan pusat tetapi kesusahannya banyak. Untuk menggerakkan keseluruhan pasukan, dengan mengendalikan sesi latihan dan SOP (prosedur operasi standard) memang agak ketat dan bukan senang kita ingin masuk Sarawak… ada SOP tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM ke-12 di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini, semalam.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe dijadual bakal mengendalikan sesi latihan skuad kebangsaan yang pertama sejak November 2019 pada 15-26 Jan ini. Malaysia dijadual menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 25 Mac sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac dalam aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Kelmarin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula hari ini hingga 26 Jan.

Perdana menteri berkata enam lagi negeri - Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dikenakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak, untuk tempoh sama.

Sementara itu, Hamidin yang juga Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memaklumkan semua aktiviti bola sepak profesional di seluruh negara ditangguhkan selama dua minggu hingga 26 Jan, dan arahan itu turut meliputi kawasan yang dikenakan PKPB dan PKPP.

“Kita mengikut apa prosedur yang ditetapkan kerajaan, kita pun tiada pertandingan (setakat ini) hanya  latihan. Tetapi mereka (pasukan) perlu patuh untuk tidak mengadakan latihan di seluruh negara,” tambah beliau.

Bagaimanapun, Hamidin menegaskan FAM dan MFL kini perlu bersedia dengan beberapa pilihan untuk memastikan kelangsungan saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim 2021.

Dalam perkembangan berasingan, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam mengesahkan skuad Bawah 19 Tahun (B-19) kebangsaan akan menggalas cabaran negara pada temasya Sukan SEA 2021 di Vietnam serta dijadikan skuad projek ke arah edisi 2023 di Kemboja.

Pada masa sama, Stuart berkata skuad B-19 itu juga akan menjadi skuad didikan bagi Kejuaraan Bawah 23 Tahun (B-23) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC). — Bernama

Advertisement