Anda di sini

Dua warga asing disyaki penyeludup rokok diberkas PGA

Advertisement
 Rokok seludup yang berjaya dirampas dalam tiga buah kenderaan suspek.
RAMPASAN: Rokok seludup yang berjaya dirampas dalam tiga buah kenderaan suspek.

TAWAU: Dua lelaki warga asing disyaki penyeludup rokok dari negara jiran diberkas oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) di Batu 25 Balung, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu, sepasukan Task Force Perisikan Batalion 14 PGA yang menjalankan pemerhatian di kawasan
'hotspot' mengesan pergerakan tiga buah kenderaan dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, pasukannya bertindak mengekori ketiga-tiga kenderaan terbabit sehingga kesemua suspek memberhentikan kenderaan mereka di tepi jalan batu 25 Balung.

"Semasa pasukan PGA mahu membuat pemeriksaan, dua daripada kenderaan terbabit bertindak memecut laju cuba melarikan diri sehingga nyaris melanggar salah seorang pasukan keselamatan.

"Manakala, sebuah kenderaan lagi berjaya ditahan dan didapati terdapat dua lelaki berumur 29 dan 31 tahun di dalam kenderaan terbabit bersama muatan sebanyak 529 pek rokok seludup," katanya dalam kenyataan media, di sini.

Mengulas lanjut, katanya, kedua-dua kenderaan yang melarikan diri itu ditemui terbabas di tepi jalan, namun kesemua suspek yang memandu kenderaan terbabit berjaya melarikan diri.

"Hasil pemeriksaan keatas kenderaan yang ditinggalkan suspek berjaya menemui sebanyak 1,868 pek rokok pelbagai jenama dipercayai tidak mempunyai cukai kastam.

"Kesemua rokok yang dirampas disyaki diseludup dari negara jiran dan dipercayai untuk dijual di sekitar daerah Tawau dan kawasan-kawasan yang berhampiran," katanya.

Mohd Yacob berkata, hasil pemeriksaan terhadap dua suspek yang ditahan mendapati mereka gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Kesemua barang rampasan termasuk rokok seludup, tiga buah kenderaan dan dua telefon bimbit yang dianggarkan bernilai RM365,277.60 dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk siasatan lanjut.

"Kesalahan itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam," katanya.

  • oleh
  • Advertisement