Anda di sini

Dua individu ditahan cuba seludup keluar minyak petrol

Advertisement
 Kedua-dua suspek bersama barang rampasan berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.
SUSPEK: Kedua-dua suspek bersama barang rampasan berjaya ditahan untuk siasatan lanjut.

SEMPORNA: Dua individu termasuk seorang wanita ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) disyaki cuba menyeludup keluar minyak petrol ke negara jiran di perairan pulau Bohayan, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 malam itu, sepasukan pegawai dan anggota Kompeni A PGA yang menjalankan tugas rondaan rutin mengesan tiga buah bot laju dari perairan Semporna menuju ke arah perairan negara jiran.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, bot pasukan keselamatan yang mengejar suspek dihimpit dan dilanggar beberapa kali ketika cuba meloloskan diri.

"Semasa insiden itu, suspek yang melanggar bot pasukan keselamatan hilang kawalan sehingga mengakibatkan bot mereka terhumban dan terbalik.

"Pasukan keselamatan yang menghampiri bot berkenaan mendapati terdapat seorang lelaki berpaut pada bot manakala seorang lagi wanita terkapai-kapai hampir lemas, namun kedua-dua mereka berjaya diselamatkan," katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, sebaik bot pasukan keselamatan menyelamatkan suspek, dua lagi bot laju yang dikejar berjaya meloloskan diri menuju ke perairan negara jiran.

"Hasil pemeriksaan, kedua-dua suspek yang masing-masing berumur 22 dan 33 tahun itu mengakui tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Selain itu, terdapat juga banyak botol dan gelen disyaki mengandungi minyak petrol terapung di atas air berhampiran bot laju suspek yang terbalik," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 279 botol minyak enjin, 110 liter minyak petrol bersubsidi di dalam empat gelen pelbagai jenis disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran.

"Turut dirampas sebuah bot laju, enjin, wang tunai RM508 dan wang kertas negara jiran 4360 peso dipercayai digunakan dalam urus niaga haram jual petrol dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM20,395," katanya.

Mohd Yacob berkata, dalam insiden perlanggaran itu mengakibatkan kecederaan ringan dua anggota PGA dan kerosakan terhadap bot pasukan keselamatan.

"Kedua-dua suspek dan semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan serta tindakan lanjut manakala kes disiasat mengikut Seksyen 186 kanun keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam," katanya.

Advertisement