Anda di sini

Siri hit Netflix ‘Ethos’ gambaran tentang kehidupan sosial Turki

Advertisement
 Gambar yang diambil pada 24 Disember 2020 di Istanbul ini menunjukkan poster ‘Ethos’ dipaparkan di skrin laptop. ‘Ethos’ merupakan eksport penstriman bergaya terbaharu dari Turki yang kini ditayangkan di Netflix. — Gambar AFP
POPULAR: Gambar yang diambil pada 24 Disember 2020 di Istanbul ini menunjukkan poster ‘Ethos’ dipaparkan di skrin laptop. ‘Ethos’ merupakan eksport penstriman bergaya terbaharu dari Turki yang kini ditayangkan di Netflix. — Gambar AFP

SEORANG adalah tukang cuci wanita yang memakai tudung dari kawasan miskin pinggir bandar Istanbul, seorang lagi adalah pakar psikiatri dari kumpulan ‘jet set’ (elit, kaya dan sentiasa melancong) yang memecah siling kaca dan menaruh syak-wasangka tentang agama Islam yang konservatif.

Bersama-sama, kedua-dua wanita itu menjadi bahan cerita yang amat menarik dalam satu siri Netflix hit yang telah mencabar batas dan menerima pujian kerana gambarannya yang tidak berbelah-bahagi tentang perbezaan sosial yang mendalam di Turki.

Drama psikologi rancak ‘Ethos’ (‘Bir Baskadir’) merupakan eksport penstriman bergaya terbaharu dari Turki, untuk menambah kepada senarai penerbitan tempatan yang semakin berkembang dan berjaya di luar negara.

Namun siri lapan bahagian oleh pengarah Berkun Oya itu menyajikan apa yang tidak berani disajikan oleh drama TV Turki sebelum ini, untuk menggiatkan perbincangan kebangsaan yang dahulu terbatas kepada ‘bohemian art houses’ yang menayangkan filem-filem intelektual.

“Siri itu berjaya menemui keseimbangan di antara karya popular dengan filem yang penuh fikiran,” kata Dogan Gurpinar, seorang pakar sejarah di Universiti Teknikal Istanbul.

Dikeluarkan pada 12 November lalu, siri itu dibintangi Oyku Karayel, yang membawa watak Meryem, seorang tukang cuci yang tidak pergi ke sekolah tinggi dan pergi kepada ‘hodja’, atau ulama, di kawasan kejiranannya pada waktu susah.

Tiba-tiba, dia terjumpa dengan pakar terapi yang ranggi Peri, lakonan Defne Kayalar, yang bukan sahaja sekular tetapi amat tidak suka sekali tentang hala tuju sosial di Turki.

Siri itu, yang menyelubungi watak-wataknya dengan empati dan cuba meleraikan kekeliruan tentang “ciri orang lain”, telah mencetuskan perdebatan dalam talian tentang prejudis dalam komuniti digital yang pesat berkem-bang di Turki – iaitu audiens teras Netflix.

‘Ethos’ menyentuh nadi tertentu kerana tinjauan pendapat menunjukkan Turki amat berpecah-belah menurut garisan politik dan sosial.

Satu kajian yang diterbitkan oleh German Marshall Fund yang berpangkalan di Amerika Syarikat pada Disember lalu menunjukkan 75 peratus responden Turki tidak mahu anak mereka mengahwini penyokong parti politik yang mereka rasa “paling jauh dari mereka”

Sebanyak 61 peratus berkata mereka tidak mahu menjadi jiran dengan penyokong parti itu, dan 86 peratus melabelkan musuh politik mereka sebagai ‘hipokrit’.

Meryem melangkah ke dalam jurang ini.

Karayel, yang membawa wataknya, tidak memakai tudung tetapi berkata dia memahami kesusahan emosional yang dialami Meryem.

“Dia rasa tertekan dalam beberapa segi tetapi adakah ini kesalahannya? Tidak. Kehidupan bertanggungjawab bagi perkara ini, lingkaran sosial yang mengikatnya, dari mana dia mencari jalan keluar dengan caranya sendiri yang naif,” kata Karayel kepada media Turki pada November lalu.

Muda, bertenaga dan sedang berkembang, negara dengan 83 juta penduduk itu terletak di antara Eropah dan Asia, untuk menghimpunkan nasionalis Turki dan penduduk etnik Kurd, kosmopolitan dan petani wilayah, golongan agama tradisional dan sekular.

Dalam ‘Ethos’, kedua-dua wanita itu bercakap dalam bahasa yang hampir berbeza.

Meryem bergantung kepada ungkapan Islam seperti “semoga Allah merahmati anda” dan memanggil Peri ‘abla’ (kakak).

Semua ini keterlaluan bagi Peri, yang memberitahu pakar terapinya sendiri bahawa Amerika Latin yang jauh rasa lebih biasa berbanding tanahairnya.

Seorang wanita bertudung sentiasa seperti “raksasa bagi ibu saya”, katanya, dan menambah: “Malah dia berleter tentang tudung pembantu rumah kami.”

Namun ada yang mengkritik perpecahan ini sebagai terlalu kasar.

“Di dunia Barat, Turki dibayangkan menerusi penapis klise tertentu,” kata pakar sejarah Gurpinar.

“Golongan sekular dan golongan konservatif adalah yang paling ketara. Wanita bertudung menentang wanita ‘moden’ yang tidak bertudung adalah satu lagi. Dari segi luaran, mereka juga menetapkan batas dalam siri itu.”

Zeynep K. Serefoglu Danis, pengerusi jawatankuasa akademik KADEM dengan timbalan pengarahnya anak perempuan Presiden Recep Tayyip Erdogan, Sumeyye Erdogan Bayraktar, juga berkata ‘Ethos’ ada kelemahannya.

Lakonan bagi watak utama sebagai seorang wanita memakai tudung yang tidak berpendidikan telah mendorong segelintir wanita konservatif dengan ijazah untuk “bertanya dengan sepatutnya ‘kenapakah kita tidak diwakili?’,” kata Danis kepada AFP.

“Tetapi saya percaya penerbitan fiksyen tidak dapat berjanji untuk memberikan pandangan yang luas tentang masyarakat.”

Bayraktar memakai tudung dan mendapat pendidikan di Universiti Indiana di Amerika syarikat dan London School of Economics.

Danis berkata penulis siri itu sepatutnya pergi “lebih jauh daripada kebiasaan” dalam gambaran mereka tentang pertarungan di antara wanita tradisional dengan wanita moden.

Namun dia memuji siri itu kerana membenarkan Meryem untuk mencari jalannya sendiri untuk keluar daipada batasan sosial dan pada waktu yang sama membantu Peri menerima dunia yang berbeza.

“Peri bukanlah penye-lesaian bagi Meryem. Ia adalah Meryem yang menggoncang dunia mental Peri dengan kehadirannya, ia adalah Meryem yang mencari jalan keluarnya sendiri dengan bercakap,” katanya. — AFP

Advertisement