Anda di sini

Sekatan jalan raya PKPB bermula malam ini

Advertisement
 

KUCHING: Polis Sarawak akan mengadakan 10 sekatan jalan raya di Zon Kuching, Sibu dan Miri bermula tengah malam ini, kata Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail.

Ia adalah susulan pengumuman Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tiga zon tersebut.

“Bagi zon Kuching, akan ada sekatan jalan raya di setiap daerah iaitu di Kuching, Padawan, Kota Samarahan, Bau dan Lundu dan untuk di Sibu akan didirikan empat sekatan jalan raya termasuk di Sarikei. Manakala di Miri hanya satu sekatan jalan raya dan kesemua sekatan tersebut akan bermula jam 12 tengah malam ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya juga, seramai 308 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan ditugaskan untuk sekatan jalan raya tersebut.

“Anggota kita telah bersiap sedia untuk melaksanakan tugas dalam bersama-sama memutuskan rantaian COVID-19,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menasihatkan orang ramai agar menghadkan pergerakan sepanjang tempoh PKPB dilaksanakan.

“Nasihat saya agar mereka yang berada di Zon Merah khasnya agar menghadkan pergerakan dan jika ada keperluan kecemasan perlu dapatkan permit,” tegasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement