Anda di sini

Neil Young jual 50 peratus kepentingan dalam muziknya

Advertisement
NEIL YOUNG
NEIL YOUNG

PENYANYI Neil Young merupakan pemuzik profil tinggi terkini yang mengambil keuntungan daripada hak-hak lagunya, dengan menjual kepentingan sebanyak 50 peratus dalam muziknya kepada syarikat pelaburan British, Hipgnosis.

Syarikat itu berkata ia memperolehi separuh daripada hak cipta global Young dan faedah pendapatan daripada katalognya, yang merangkumi 1,180 buah lagu. Hipgnosis tidak mendedahkan terma perjanjian.

Young, penulis lagu hit termasuk ‘Heart of Gold’, ‘Rockin’ in the Free World’ dan ‘Cowgirl in the Sand’, masih amat waspada dan lantang menentang komersialisasi muzik.

Merck Mercuriadis, pengasas Hipgnosis Songs Fund Limited, menggambarkan diri sebagai peminat sepanjang hayat Young dan berjanji muziknya akan digunakan dengan baik.

“Kami mempunyai minat, etos dan integriti sama yang lahir daripada kepercayaan kepada muzik dan lagu-lagu penting ini,” dia menyebut dalam satu kenyataan.

“Lagu ‘Burger Of Gold’ tidak akan ada lagi tetapi kami akan bekerja bersama untuk memastikan semua orang berpeluang mendengarnya menurut terma Neil.”

Perjanjian Young dimeterai hanya sebulan sahaja selepas Bob Dylan menjual seluruh katalog lagu lamanya kepada Universal Music Publishing Group dengan jumlah amat tinggi yang dilaporkan dalam lingkungan AS$300 juta hingga AS$500 juta (RM1.35 bilion hingga RM2.25 bilion).

Hipgnosis baru-baru ini turut mendapatkan hak penerbitan Lindsey Buckingham dari kumpulan Fleetwood Mac, pengasas bersama kumpulan Blondie, Debbie Harry dan Chris Stein, serta royalti penerbit bagi eksekutif muzik terkemuka Jimmy Iovine.

Young kelahiran Kanada yang prolifik sudah mengeluarkan puluhan album solo selain rekod bersama kumpulan muzik termasuk Crosby, Stills, Nash & Young, Crazy Horse dan Buffalo Springfield. — AFP

Advertisement