Anda di sini

Mahkamah tolak saman fitnah Dr Sim terhadap Chong 

Advertisement
Dr Sim (kiri) dan Chong

KUCHING: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak tuntutan saman fitnah yang difailkan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian terhadap Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen berhubung dakwaan Dr Sim gagal mengurus bantuan makanan pada tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai memutuskan demikian setelah mendapati penjelasan peguam pihak plaintif (Dr Sim) mengenai kelewatan sebulan dalam mengemukakan dokumen tidak masuk akal dan tidak boleh dipercayai.

“Perbuatan menahan dokumen dilihat menghalang undang-undang dan seterusnya mengganggu integriti perbicaraan. Mahkamah juga mendapati peguam plaintif telah melakukan penghinaan di muka pengadilan.

“Sehubungan itu, mahkamah menolak tuntutan plaintif dengan kos RM30,000 kerana pihak plaintif lalai dalam mematuhi arahan mahkamah,” ujar Alexander semasa memberikan keputusannya pada hari ini.

Alexander dalam pada itu juga merujuk Shankar Ram kepada Tribunal Tatatertib dan mengatakan bahawa terpulang kepada defendan (Chong) bagaimana beliau ingin meneruskan tuntutan balas setelah melihat perkembangan hari ini. 

“Sebutan kes seterusnya ditetapkan pada 22 Januari depan,” ujar beliau lagi.

Dr Sim diwakili peguam, Shankar Ram Asnani manakala ADUN Kota Sentosa itu diwakili peguam Chong Siew Chiang dan Michael Kong.

Pada tahun lalu, Dr Sim menerusi peguamnya memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen kerana mendakwanya gagal mengurus bantuan makanan dikhususkan untuk empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beberapa pemimpin DAP Sarawak termasuk pengerusinya YB Chong Chieng Jen dikatakan memfitnah Dr Sim menerusi surat khabar kerana gagal menguruskan bantuan membabitkan peruntukan bernilai RM800,000 bagi kawasan DUN Padungan, Batu Lintang, Pending dan Kota Sentosa.

Menurut laporan terdahulu, Dr Sim yang juga Presiden SUPP berkata semua dana bantuan makanan daripada kerajaan negeri disalurkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian, bukan kepada Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Beliau menegaskan pemimpin-pemimpin DAP Sarawak berulang kali mengutarakan perkara yang tidak benar menerusi media sosial dan akhbar dengan niat memburukkan imejnya serta menuduhnya menyalahgunakan kedudukannya.

Advertisement