Anda di sini

Inter tercicir mata lagi, Juve rapatkan jurang dalam Serie A

Advertisement
 Milan Skriniar (atas kiri) menanduk masuk gol penyamaan ke dalam gawang pada perlawanan Serie A Itali di antara AS Roma menentang Inter Milan di stadium Olimpik di Rom, kelmarin. — Gambar AFP
LEDAK: Milan Skriniar (atas kiri) menanduk masuk gol penyamaan ke dalam gawang pada perlawanan Serie A Itali di antara AS Roma menentang Inter Milan di stadium Olimpik di Rom, kelmarin. — Gambar AFP

MILAN: Harapan Inter Milan untuk memberikan saingan kuat kejuaraan Serie A Itali tersentak pada Ahad apabila seri 2-2 di AS Roma, sekali gus membolehkan AC Milan memiliki kelebihan tiga mata di singgahsana liga.

Juara bertahan, Juventus, juga mendapat kelebihan dari keputusan seri Inter apabila naik ke tangga keempat liga selepas menewaskan Sassuolo 3-1.

Inter kurang tiga mata di belakang AC Milan, yang menewaskan Torino 2-0 pada perlawanan hari Sabtu, dengan AS Roma kurang tiga lagi mata di tangga ketiga.

Juventus kini satu mata di belakang Roma selepas meraih kemenangan ketiga berturut-turut buat kali pertama mereka musim ini.

“Ia adalah penting untuk meneruskan rentak kemenangan ini kerana jika tidak, perlawanan pada Rabu di San Siro tidak memberi makna,” kata jurulatih Juventus, Andre Pirlo, selepas pasukannya menamatkan rekod 27 perlawanan tanpa kalah Milan di San Siro pada pertengahan minggu.

Di Rom, keputusan seri sememangnya mengecewakan buat Inter, yang turut kehilangan rekod lapan kemenangan berturut-turut apabila tewas kepada Sampdoria pada pertengahan minggu.

Memburu kejuaraan  liga yang pertama sejak 2010, Inter akan menentang Juventus di San Siro hujung minggu ini untuk apa yang bakal menentukan musim kedua-dua pasukan.

Lorenzo Pellegrini meletakkan Roma di hadapan selepas 15 minit permainan di Stadio Olimpico.

Inter berjaya mengikat kedudukan menerusi gol Milan Skriniar 11 minit selepas rehat sebelum Achraf Hakimi meletakkan Inter di hadapan tujuh minit selepas itu.

Tetapi ketika Inter membayangkan tiga mata penuh, Roma mengikat kedudukan apabila Mancini menanduk umpanan Gonzalo Villar untuk gol penyamaan, empat minit sebelum tamat permainan.

“Pada akhir perlawanan, kadang-kadang ada kebimbangan ketika mengharungi perlawanan penting, menyebabkan anda hilang rentak,” kata jurulatih Inter, Antonio Conte.

“Kami mempunyai peluang menamatkan saingan tetapi gagal melakukannya.”

Roma juga terkilan kerana terlepas mengutip tiga mata penuh kerana akan menentang Lazio, yang menewaskan Parma 2-0, hujung minggu ini.

“Kami mempunyai tempoh 15 hingga 20 minit dalam separuh masa kedua yang memberi kesan teruk kepada kami,” kata jurulatih Roma, Paulo Fonseca ketika bercakap tentang dua gol Inter selepas rehat.

Di Turin, ia adalah perlawanan sukar buat Juventus, yang memburu rekod kejuaraan liga ke-10 berturut-turut selepas kehilangan penyerang Paulo Dybala dan Weston McKennie kerana kecederaan dalam separuh masa pertama.

McKennie dikeluarkan seawal minit ke-18 permainan kerana kecederaan otot dan diganti oleh Aaron Ramsey.

Dybala dikeluarkan tiga minit sebelum rehat selepas kecederaan di lutut kanan.

Juventus sudah beraksi tanpa Alex Sandro, Juan Cuadrado dan Matthijs de Ligt yang diuji positif COVID-19.

Bagaimanapun, Juventus membuka jaringan pada minit ke-50 tetapi tujuh minit kemudian, Sassuolo mengikat kedudukan menerusi gol Gregoire Defrel.

Ramsey meletakkan Juventus kembali di hadapan lapan minit sebelum tamat permainan untuk gol pertama beliau musuim ini.

Cristiano Ronaldo melengkapkan jaringan pada minit kecederaan untuk gol liga ke-15 beliau musim ini.

“Ia adalah perlawanan yang sukar tetapi apa yang penting ialah kami  mencapai kemenangan walaupun jika kami tidak bermain dengan baik,” tambah Pirlo.

Kekalahan menyebabkan Sassulo tercicir ke tangga ketujuh selepas kekalahan ketiga dalam lima perlawanan.

Pada perlawanan lain, Napoli bangkit dari kekalahan pada pertengahan minggu apabila menewaskan Udinese 2-1 di tempat lawan untuk naik ke tangga keenam liga.

Napoli membuka jaringan menerusi penalti minit ke-15 oleh Lorenzo Insigne tetapi Kevin Lasagna mengikat kedudukan pada minit ke-27.

Tiemoue Bakayoko menjaringkan gol kemenangan Napoli pada lewat permainan. — AFP

Advertisement