Anda di sini

Crawley sentak Leeds, Spurs tamatkan pengembaraan kelab amatur Marine

Advertisement
 Jordan Tunnicliffe (tengah) menjaringkan gol ketiga untuk pasukan mereka pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Crawley Town dan Leeds United di Stadium Broadfield di Crawley, England, kelmarin. — Gambar AFP
BERGAYA: Jordan Tunnicliffe (tengah) menjaringkan gol ketiga untuk pasukan mereka pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Crawley Town dan Leeds United di Stadium Broadfield di Crawley, England, kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Leeds United tersungkur awal dari saingan Piala FA Inggeris apabila dikejutkan oleh kelab Liga Dua, Crawley 3-0 sementara impian kelab amatur Marine untuk mencipta kejutan terbesar dalam pertandingan ini tidak kesampaian apabila dibelasah 0-5 oleh Tottenham Hotspur pada Ahad.

Selepas peningkatan kes positif COVID-19 menjejaskan beberapa perlawanan pusingan ketiga kejohanan bermula Jumaat lepas, Piala FA kembali seperti biasa pada Ahad ketika Leeds menjadi nama besar yang dikejutkan oleh kelab liga bawahan.

Ketika pengembaraan hebat Marine berakhir dengan hatrik Carlos Vinicius dan Chelsea serta Manchester City juga meneruskan kemaraan dengan kemenangan selesa, kemenangan mengejut Crawley membawa berita gembira di sebalik berita mengecewakan tentang peningkatan kes COVID-19 dalam komuniti bola sepak.

Beberapa kelab terkesan dengan pandemik COVID-19 ketika varian baharu melanda seluruh Britain, memaksa masing-masing kelab Aston Villa dan Derby County menurunkan barisan pemain muda pada perlawanan menentang Liverpool dan Chorley.

Walaupun permintaan untuk musim bola sepak Inggeris ditangguhkan, Piala FA diteruskan buat masa ini dan Crawley mengambil sepenuh peluang untuk mencuri perhatian.

Leeds berada di tangga ke-12 Liga Perdana Inggeris selepas kembali ke liga elit tetapi pengurusnya, Marcelo Bielsa menerima padah kerana melakukan tujuh pertukaran pemain untuk perlawanan di Crawley.

Pada hari yang hebat buat Crawley, Nick Tsaroulla membuka jaringan untuk gol pertama dalam kerjayanya pada minit ke-55.

Ashley Nadesan menambah jaringan dua minit kemudian sebelum Jordan Tunnicliffe melengkapkan jaringan pada minit ke-70.

“Pemain itu mahu membuktikan sesuatu kepada kelab yang melepaskan mereka dan kami menunjukkan apa yang kami boleh lakukan ketika menentang pasukan yang bagus,” kata pengurus Crawley, John Yems.

Menambah kekecewaan Leeds, Crawley memberikan penampilan sulung kepada bintang televisyen realiti, Mark Wright sebagai pemain gantian pada lewat permainan.

Bielsa pastinya tidak begitu mengenali Wright tetapi beliau menegaskan beliau tidak terkejut dengan aksi Crawley.

“Ia bukan satu persoalan tentang kejutan. Kami tahu karektor pemain mereka. Kami menguasai bola hampir sepanjang permainan tetapi kami tidak dapat melakukan yang lebih bagus lagi,” kata Bielsa.

Marine, yang berada di tangga ke-161 hierarki bola sepak Inggeris – jurang terbesar dalam sejarah Piala FA, dibarisi pemain seperti guru, kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS), pekerja pembersihan dan pekerja kilang dan dalam stadium kecil di bandar Crosby menanti kunjungan pemain bintang Tottenham Hotspur.

Sebuah kelab yang diberi nama bersempena dengan sebuah pub tempatan, pandemik ketika ini menyebabkan Tottenham menggunakan bilik persalinan dalam bilik yang mempunyai bar seperti pub.

Stadium Marine terletak bersebelahan dengan kejiranan, membolehkan beberapa penduduk dapat menonton perlawanan secara percuma ketika Neil Kengni hampir meletakkan Marine di hadapan apabila rembatan jarak jauh beliau terkena palang.

Spurs, tanpa Harry Kane dan Son Heung-min, mula mengawal permainan dengan dua penyudah kemas oleh Vinicius dalam tempoh enam minit.

Lucas Moura menjaringkan gol ketiga pada minit ke-32 sebelum Vinicius melengkapkan hatriknya lima minit selepas itu.

Alfie Devine meraikan penampilan sulung dengan gol keempat pada minit ke-60, menjadikan beliau penjaring gol paling muda Tottenham pada usia 16 tahun dan 163 hari.

Pada perlawanan lain, naib juara kejohanan musim lepas, Chelsea, membelasah kelab Liga Dua, Morecambe 4-0.

Mason Mout meraikan ulang tahun kelahiran ke-22 beliau dengan satu gol dan Timo Werner, selepas 12 perlawanan tanpa gol, menambah jaringan pada minit ke-44.

Callum Hudson-Odou dan Kai Haverzt melengkapkan jaringan dalam separuh masa kedua.

Manchester City menewaskan kelab Liga Kejuaraan, Birmingham 3-0 menerusi dua gol Bernardo Silva dan Phil Foden.

Brighton memerlukan penentuan sepakan penalti untuk menewaskan kelab Liga Dua, Newport County selepas seri 1-1. — AFP

Advertisement