Anda di sini

COVID-19: 146 kes baharu dikesan di Sarawak hari ini

Advertisement
Statistik terkini COVID-19 di Sarawak
Statistik terkini COVID-19 di Sarawak

KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan 146 kes positif baharu COVID-19 yang sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 1,574 kes.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata daripada 146 kes berkenaan, 92 kes dikesan di Sibu, Sebauh (20), Kanowit (12), Miri (11), Beluru dan Kuching masing-masing tiga, Dalat (dua), sementara Saratok, Bintulu dan Limbang masing-masing satu.

“Bagi 92 kes yang direkodkan di Sibu, 83 merupakan jangkitan daripada Kluster Pasai, lapan daripada lain-lain saringan dan satu lagi adalah melibatkan saringan individu balik dari kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19.

“Manakala 20 kes di daerah Sebauh adalah membabitkan jangkitan daripada Kluster Bukit Sekubong (Kluster Baharu),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut mengenai 12 kes baharu COVID-19 yang dikesan di daerah Kanowit, JPBNS berkata, kesemuanya adalah jangkitan daripada Kluster Pasai.

“Sementara 11 kes baharu COVID-19 di daerah Miri adalah melibatkan dua jangkitan daripada Kluster Bah Sayap, satu jangkitan daripada Kluster Jelita, satu saringan individu balik dari kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 dan tujuh daripada lain-lain saringan.

“Beluru (Miri) pula tiga kes dengan kesemuanya melibatkan saringan kontak rapat.

“Manakala tiga kes yang direkodkan di daerah Kuching adalah melibatkan satu jangkitan  daripada Kluster Stutong, satu saringan individu bergejala dan satu saringan kontak rapat,” katanya.

Ujar Jawatankuasa itu lagi, sebanyak dua kes yang dikesan di daerah Dalat hari ini, kesemuanya adalah melibatkan jangkitan daripada Kluster Pasai.

“Manakala satu kes baharu COVID-19 dikesan di daerah Saratok adalah membabitkan saringan individu balik dari kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19

“Bagi satu kes di daerah Bintulu dan daerah Limbang pula adalah masing-masing melibatkan saringan individu balik dari luar negara dan kes rujukan hospital,” tambahnya.

Dalam pada itu, JPBNS turut memaklumkan hari ini, terdapat 156 orang yang disyaki (PUI) baru telah dilaporkan dan 12 PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal. 

  • oleh
  • Advertisement