Anda di sini

Edar dadah: Penganggur terlepas hukuman gantung

Advertisement
Tertuduh (tiga kanan) dan ahli keluarganya (kanan) bersama peguam Roger Chin (dua kanan) dan Osman Ibrahim (dua kiri).
Tertuduh (tiga kanan) dan ahli keluarganya (kanan) bersama peguam Chin (dua kanan) dan Osman (dua kiri).


KUCHING: Seorang penganggur menarik nafas lega apabila dia dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini daripada pertuduhan mengedar 395.9 gram kanabis.

Hakim Dr Alwi Abdul Wahab memutuskan demikian terhadap Razif Hanif Abdul Rahim, 35, setelah mendapati pihak pendakwaan gagal menubuhkan kes prima facie terhadap tertuduh, di akhir kes pendakwaan. 

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 17 Jun 2019, jam 8.30 malam, di sebuah rumah di Jalan Haji Kassan, dekat sini. 

Menurut laporan terdahulu, dadah itu ditemui di atas siling bahagian dapur rumah kediaman tertuduh. 

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan. 

Dalam pada itu, Hakim Dr Alwi dalam penghakimannya berkata, tertuduh tiada kawalan ke atas dadah tersebut serta tidak mempunyai pemilikan eksklusif ke atasnya. 

"Rumah tempat dadah tersebut ditemui adalah terbuka dan boleh dimasuki orang ramai, malah kedua-dua pintu rumah tersebut tidak berkunci dan dilaporkan rosak. 

"Oleh itu sesiapa sahaja termasuk rakan-rakan dan saudara-mara tertuduh boleh masuk ke dalam rumah tersebut. 

"Salah seorang saksi iaitu bapa saudara tertuduh juga memaklumkan mahkamah bahawa rumah tersebut sering dikunjungi oleh rakan-rakan tertuduh," ujar beliau semasa prosiding. 

Mahkamah turut mengakui bahawa dari segi penemuan, pasukan serbuan didapati tidak mengikuti prosedur di bawah Seksyen 27 Akta Keterangan 1950. 

Jelas beliau, maklumat yang diperoleh daripada tertuduh tidak direkodkan, justeru keterangan tersebut tidak boleh diterima di mahkamah. 

Perbicaraan yang bermula sejak April 2020 itu menyaksikan seramai lapan saksi pendakwaan dipanggil bagi memberikan keterangan dalam kes ini termasuklah pegawai penyiasat, bapa saudara tertuduh, ahli kimia, forensik dan jurugambar. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ronnie Entili manakala tertuduh diwakili peguam, Osman Ibrahim, Roger Chin dan Nur Syaheeqa Nazwa Radzali. 

Advertisement