Anda di sini

Berang kad bank ditelan ATM, lelaki tumbuk skrin 

Advertisement
Suspek diserahkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan lanjut.
Suspek diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

SIBU: Berang kad bank tidak dapat dikeluarkan dari mesin juruwang automatik (ATM), seorang lelaki bertindak menumbuk mesin itu di sebuah pasar raya di Jalan Salim pada Ahad. 

Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit ketika mengesahkan perkara itu, berkata susulan kejadian kira-kira jam 5.55 petang itu, pihaknya menahan lelaki berumur 35 tahun tersebut pada hari sama. 

Katanya, hasil siasatan awal, bapa kepada lima orang anak itu pada mulanya berhasrat mengeluarkan wang bagi membeli pakaian untuk anak lelakinya yang berumur sembilan tahun.

"Bagaimanapun, ketika cuba mengeluarkan wang tunai dari akaun banknya selepas menerima RM1,000 dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui pengeluaran i-Sinar, kad bank suspek ditelan mesin ATM.

"Suspek kemudian naik angin dan bertindak menumbuk skrin mesin ATM berkenaan sehingga menyebabkannya tidak berfungsi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Stanley, perbuatan suspek disedari oleh seorang pengawal keselamatan di pasar raya berkenaan yang berusia 29 tahun selepas terdengar bunyi bising dari bilik mesin ATM terbabit.

Tersentak dengan kejadian itu, pengawal keselamatan terbabit katanya menghubungi rakannya dan menahan suspek sebelum menyerahkan kepada pihak polis.

"Tiada pergelutan berlaku dan suspek telah memberikan kerjasama sepenuhnya ketika diminta berbuat demikian oleh pengawal keselamatan pasar raya berkenaan," katanya.

Stanley berkata, hasil siasatan awal juga mendapati suspek pernah ditangkap sebanyak tiga kali kerana kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 selain pernah sekali disabitkan dengan kesalahan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Selain itu, polis juga katanya akan mendapatkan kenyataan daripada pihak bank terbabit bagi mengenal pasti jumlah kerugian.

Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan suspek akan direman hari ini. 

  • oleh
  • Advertisement