Anda di sini

Bekas PM Algeria mengaku jual emas di pasaran gelap

Advertisement

ALGIERS: Bekas perdana menteri Algeria Ahmed Ouyahia yang dibicarakan atas tuduhan rasuah, kelmarin mengaku menerima ketulan emas daripada penderma dari Teluk dan kemudian menjualnya di pasaran gelap, lapor agensi berita rasmi APS.

Ouyahia dan seorang lagi bekas perdana menteri Abdelmalek Sellal telah dituduh membiayai secara rahsia usaha pilihan raya semula pada 2019 bagi presiden ketika itu Abdelaziz Bouteflika, yang meletak jawatan sejurus selepas bantahan antikerajaan.

Perbicaraan semula mereka dibuka kelmarin selepas mahkamah tinggi pada November memansuhkan pensabitan awal mereka selepas satu rayuan, menurut APS.

Kedua-duanya telah berkhidmat di bawah bekas presiden Abdelaziz Bouteflika.

Beberapa bekas menteri dan tokoh terkenal lain turut dihadapkan dalam perbicaraan atas tuduhan yang sama, kata APS.

Ouyahia kelmarin disoal siasat mengenai sumber aset dalam akaun banknya yang berjumlah lebih AS$5 juta.

Dia menyatakan sebahagian daripadanya berasal daripada penjualan di pasaran gelap untuk jongkong emas yang diterimanya sebagai hadiah ketika memegang jawatan sebagai perdana menteri daripada para pemimpin di negara Teluk, tambah APS.

Sebanyak 60 jongkong emas itu dianggarkan bernilai kira-kira AS$2.5 juta.

Ouyahia menyatakan dia sebelum ini berdiam diri mengenai perkara itu agar tidak menggariskan hubungan di antara Algeria dan negara-negara rapat lain.

Dia turut mengaku tidak mengisytiharkan jumlah itu kepada inspektor cukai.

Perbicaraan Ouyahia dan Sellal pada Disember 2019 adalah yang pertama dalam siri kes rasuah berprofil tinggi yang dilancarkan selepas Bouteflika meletak jawatan awal tahun tersebut.

Ia juga merupakan kali pertama sejak kemerdekaan Algeria dari Perancis pada 1962 di mana bekas perdana menteri didakwa.

Ouyahia menjadi perdana menteri sebanyak empat kali antara 1995 dan 2019, dan telah dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun.

Sellal yang berkhidmat dari tahun 2012 hingga 2017 dan menguruskan empat kempen pilihan raya Bouteflika, dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun.

Kedua-dua mereka telah dijatuhkan hukuman penjara seterusnya dalam kes berasingan pada tahun lepas.

Bouteflika, yang merupakan presiden paling lama berkhidmat di Algeria, dipaksa meletak jawatan pada April 2019 selepas kehilangan sokongan pihak tentera semasa bantahan jalanan besar-besaran menentang keputusan beliau untuk mendapatkan penggal kelima.

Pihak berkuasa kemudian melancarkan rangkaian siasatan terhadap bekas pegawai berpangkat tinggi dan ahli perniagaan, beberapa orang daripada mereka telah disabitkan.

Namun negara turut memburu tokoh pembangkang dan ramai melihat perbicaraan sebagai penyelesaian perbalahan di antara pegawai yang bermusuhan berbanding usaha asal bagi perubahan. — AFP

Advertisement