Anda di sini

Anugerah muzik Grammy ditangguh hingga Mac berikutan COVID-19

Advertisement
__alt__

ANUGERAH muzik Grammy yang dijadualkan pada 31 Januari di Los Angeles telah ditunda sehingga Mac disebabkan oleh COVID-19, yang sudah merebak dengan cepat di California.

The Recording Academy mengeluarkan satu kenyataan yang menyebut ia telah menjadualkan semula acara tersebut ke 14 Mac, seminggu lebih awal berbanding tarikh yang disenaraikan seketika di dalam laman sesawangnya.

“Situasi COVID yang semakin buruk di Los Angeles, dengan perkhidmatan hospital yang terbeban, unit rawatan rapi yang sudah mencapai kapasiti, dan panduan baharu daripada kerajaan negeri dan tempatan telah membuatkan kami merumuskan bahawa menunda pertunjukan kami adalah perkara yang betul untuk dibuat,” kata penganjur.

“Tiada yang lebih penting daripada kesihatan dan keselamatan mereka yang berada dalam komuniti muzik kita serta ratusan manusia yang bekerja tanpa mengenal penat untuk menerbitkan pertunjukan itu.”

Penundaan acara itu dibuat tidak sampai sebulan sebelum ia dijadual berlangsung di bawah bayang-bayang pandemik, yang telah memberikan tamparan yang amat hebat kepada industri muzik.

Organisasi berkenaan menyatakan acara yang dijadualkan pada hujung Januari amnya dijangka bersifat maya, tetapi belum mengeluarkan rancangan khusus.

Beyonce, Dua Lipa, Taylor Swift dan penyanyi rap Roddy Ricch merupakan calon-calon utama di gala yang biasanya berlangsung gilang-gemilang itu.

Pelawak Trevor Noah dijadual mengacarakan pertunjukan bagi 2021, tetapi ia tidak segera jelas sama ada rancangan itu masih sama ataupun tidak.

Pencalonan diumumkan lewat tahun lepas oleh bintang di seluruh dunia yang bercakap menerusi perbualan video.

Majlis anugerah lain, seperti Anugerah Emmy dan Anugerah Grammy Latin, terpaksa diadakan secara maya sepenuhnya atau sebahagiannya disebabkan oleh sekatan pandemik ke atas perhimpunan besar.

Sementara itu Anugerah Oscar dijadual berlangsung pada 25 April, lapan minggu lebih lewat berbanding jadual awal.

Los Angeles kini merupakan salah satu tumpuan pandemik koronavirus, dengan hospital yang dibebani jumlah kes yang memecah rekod serta penduduk yang diarah duduk di rumah.

Lonjakan kes di selatan California menyusuli Hari Kesyukuran dan musim percutian, dengan laporan tentang catuan oksigen dan pesakit terpaksa menunggu berjam-jam di dalam ambulans untuk kekosongan katil. — AFP

Advertisement