Anda di sini

Lelaki didakwa salah guna geran tanah bernilai lebih RM2 juta

Advertisement
 D. Silvester mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dekat Seremban atas satu pertuduhan menyalahgunakan geran dalam urusan jual beli sebidang tanah, yang melibatkan kerugian lebih RM2 juta, kira-kira dua tahun lepas. — Gambar Bernama
TIDAK JUJUR: D. Silvester mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dekat Seremban atas satu pertuduhan menyalahgunakan geran dalam urusan jual beli sebidang tanah, yang melibatkan kerugian lebih RM2 juta, kira-kira dua tahun lepas. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas satu pertuduhan menyalahgunakan geran dalam urusan jual beli sebidang tanah, yang melibatkan kerugian lebih RM2 juta, kira-kira dua tahun lepas.

D Silvester, 61, didakwa dengan tidak jujur menyalah guna geran Mukim No Hakmilik 464 Gadung Jaya, Mukim Labu seluas 2.461 hektar dan memperoleh RM2.38 juta, yang digunakan untuk kegunaan sendiri di Pejabat Daerah dan Tanah Seremban pada 11 Okt 2019.

Warga emas itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafiza Harun mencadangkan jaminan RM200,000 terhadap tertuduh mengambil kira kesalahan itu melibatkan jumlah kerugian yang besar, manakala peguam M. Siveram yang mewakili tertuduh memohon jaminan paling minimum atas alasan anak guamnya tidak bekerja selain mempunyai masalah diabetes yang kronik dan hipertensi.

Hakim Madihah Harullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta mengarahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 10 Februari. — Bernama

Advertisement