Anda di sini

Seorang bayi antara 16 kes COVID-19 baharu di Sarawak

Advertisement
 

KUCHING: Dua kanak-kanak dan seorang bayi antara 16 kes positif COVID-19 dikesan di Sarawak hari ini, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).

Jawatankuasa berkata, daripada 16 kes berkenaan 10 kes dikesan di Kuching sementara empat kes di Miri dan masing-masing satu kes di Samarahan serta Julau yang menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri ini meningkat kepada 1,196 kes.

"Di Kuching, satu kes membabitkan seorang kanak-kanak berumur satu tahun warga tempatan (Sarawak) yang dikesan mempunyai kontak rapak kepada kes sebelum ini di mana kes menjalani saringan pada 7 Januari 2021 dan keputusan positif pada hari yang sama.

"Sementara dua kes pula melibatkan warga tempatan (Sarawak) yang telah disaring kerana merupakan ahli keluarga serta kontak rapat kepada kes sebelum ini dan salah satu kes adalah bayi berusia empat bulan dan pernah mengalami demam pada 31 Disember," katanya menerusi kenyataan media.

Jawatankuasa berkata, dua kes lagi di Kuching hari ini masing-masing melibatkan lelaki dan wanita tempatan (Sarawak), iaitu bagi kes wanita, ia adalah kontak sosial yang telah menjalani saringan di sebuah hospital swasta di Kuching sementara kes melibatkan lelaki, yang disaring kerana mempunyai kontak rapat kes sebelum ini iaitu rakan tempat kerja. 

"Satu lagi kes melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sabah) yang membuat saringan di sebuah klinik kesihatan kerajaan di bandar raya Kuching bagi tujuan mematuhi syarat kemasukan ke Sabah.

"Ujian didapati positif pada hari yang sama dan kes ini dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan dimana pengesanan kontak kepada kes sedang dijalankan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching," katanya.

JPBNS berkata, empat lagi kes di Kuching adalah kes import iaitu dua kes melibatkan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang menjalani saringan COVID-19 kerana kembali dari Semenanjung Malaysia menggunakan penerbangan TUDM dan menjalani kuarantin wajib.

Dua lagi kes, merupakan warga tempatan (Selangor dan Kelantan) yang telah masuk ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin.

Di Miri jelas JPBNS, tiga kes adalah jangkitan tempatan yang dikesan mempunyai kontak rapat dengan kes positif dari Kluster Bah Sayap.

"Bagi kes ini, satu kes adalah kontak serumah manakala satu kes adalah kontak sosial, yang kedua-duanya telah menjalani saringan di sebuah klinik kesihatan pada 7 Januari 2021 serta dan positif pada 8 Januari 2021.

"Satu lagi kes pula merupakan kanak-kanak berumur tiga tahun warga tempatan (Selangor) yang merupakan kontak kepada kes yang merupakan rakan sekerja kepada bapanya.

"Kes-kes ini dikategorikan sebagai kes jangkitan tempatan yang telah mendapat jangkitan dari Kluster Bah Sayap," katanya.

Selain itu, JPBNS berkata satu lagi kes di Miri merupakan lelaki warga tempatan (Sarawak) yang dikesan melalui saringan kendiri sebelum bertolak ke Labuan. Kes mempunyai sejarah perjalanan ke Kuala Lumpur dan kembali ke Kuching pada 13 Disember 2020.

Katanya, kes telah menamatkan tempoh kuarantin di pusat kuarantin dan saringan rT-PCR COVID-19 adalah negatif dan kes kemudian bertolak dari Kuching ke Sibu melalui penerbangan pada 4 Januari 2021 atas urusan kerja selama tiga hari dua malam.

Pada 6 Januari 2021, kes tiba di Miri dan terus menjalani saringan dengan kit ujian pantas antigen COVID-19 di sebuah hospital swasta dan didapati positif dan dikategorikan sebagai import C dari Kuching. 

Di Samarahan, satu kes dikesan melibatkan wanita warga tempatan (Sarawak) yang membuat saringan COVID-19 bagi tujuan melakukan perjalanan ke Singapura dan didapati positif.

"Kes menafikan mempunyai kontak rapat dengan mana-mana kes positif COVID-19 yang telah dilaporkan sebelum ini dan kes dikategorikan kes jangkitan tempatan sehingga siasatan ke atas punca jangkitan diketahui," katanya.

Manakala di Julau, kes melibatkan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) yang balik ke Sibu dari Johor melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Senai ke Lapangan Terbang Sibu pada 4 Januari.

Kes ini telah diberikan arahan kuarantin di rumah untuk menjalani kuarantin selama 14 hari dan telah dipakaikan gelang dan kes telah membuat perjalanan dari Lapangan Terbang Sibu ke rumah kes di Rantau Pitak, Julau.

Keputusan ujian saringan pada 04 Januari 2021 didapati positif pada 05 Januari 2021.

Advertisement