Anda di sini

Kanye West, Kim Kardashian dilaporkan tidak lagi serumah

Advertisement
 

PENYANYI rap Kanye West dan isterinya, bintang TV realiti, Kim Kardashian West, sedang hidup berasingan dan menjalani kaunseling rumah tangga, NBC News melaporkan, sambil memetik sumber yang dekat dengan keluarga mereka.

Sejak beberapa bulan lalu, West, 43, tinggal di Wyoming manakala Kardashian West, 40, dan empat anak mereka terus tinggal di California, kata sumber tersebut Selasa lepas.

Pasangan selebriti mega itu, yang berkahwin dalam satu majlis besar-besaran di Itali pada Mei 2014, kerap dihantui spekulasi media gosip bahawa rumah tangga mereka sudah retak.

Pasangan itu telah menjalani kaunseling yang menangani “isu-isu perhubungan yang biasa” dan tiada pihak lain terlibat, kata sumber itu.

“Kanye menyayangi keluarga besarnya. Mereka amat rapat sekali. Mereka telah menjalani terapi. Mereka sedang berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga mereka,” kata sumber itu kepada NBC News.

Mereka ada berbincang mengenai perceraian, tetapi Kardashian West belum memfailkan perceraian.

“Mereka sedang mengusahakannya ... (dan) cuba berbincang,” kata sumber itu.

Bagaimanapun, majalah People, Page Six dan saluran gosip selebriti lain, berkata Kardashian West sedang bersiap sedia untuk memfailkan perceraian.

West pernah bercakap secara terbuka tentang pergelutannya dengan masalah bipolar.

Pada Julai tahun lepas, mogul hiburan yang tidak menentu itu melancarkan usaha untuk menjadi presiden Amerika Syarikat dengan satu ucapan berjela-jela yang menyaksikannya merapu tanpa jelas, mendedahkan dia sebe-lum ini mahu menggugurkan anak perempuannya, dan menangis teresak-esak.

Dia turut memaparkan siri ciapan, kemudian dipadamkan, yang menuduh isteri dan ibu mertuanya cuba mengurungnya, dan membayangkan dia mahukan perceraian.

Kardashian West menyeru kepada media dan orang ramai untuk menunjukkan “belaskasihan dan empati” ekoran kelakuan suaminya yang tidak menentu.

Masalah bipolar merupakan sejenis penyakit mental yang dicorakkan oleh perubahan angin yang ekstrem.

Pesakit mengalami mania, di mana mereka rasa begitu gembira dan sering bertindak semberono, serta kemurungan serius dari semasa ke semasa yang boleh menyebabkan mereka tidak dapat berfungsi dan taksub dengan niat membunuh diri.

“Mereka yang memahami penyakit mental atau malah kelakuan yang didorong oleh nafsu yang kuat tahu bahawa keluarga tidak ada kuasa kecuali jika anggota itu bawah umur,” kata Kardashian West dalam paparannya yang panjang dalam Instagram pada Julai lalu.

“Orang yang tidak sedar atau terpisah jauh daripada pengalaman ini mungkin akan membuat penilaian dan tidak memahami bahawa individu itu sendiri perlu menyertai proses mendapatkan bantuan, tidak kira betapa bersusah payah keluarga atau rakan-rakan berusaha.”

Kardashian West mempunyai ramai sekali pengikut dalam media sosial, tetapi suaminya tidak ada dalam paparannya sejak beberapa minggu lalu.

Pasangan itu mempunyai empat orang anak: anak perempuan berusia tujuh tahun North, anak lelaki Saint, lima tahun, anak perempuan Chicago, dua tahun, dan anak lelaki berusia 19 bulan, Psalm.

Ini merupakan perkahwinan pertama bagi West dan ketiga bagi Kardashian West, yang menjadi masyhur bersama siri TV realiti di AS ‘Keeping Up with the Kardashians’ yang mengikuti kehidupan keluarganya di Los Angeles. — AFP

Advertisement