Anda di sini

Rumah dilempar molotov cocktail, suspek diburu

Advertisement
Keadaan bahagian depan rumah tersebut yang terbakar.
Keadaan bahagian depan rumah tersebut yang terbakar.

KUCHING: Sebuah rumah di Kampung Beratok, Jalan Kuching-Serian di sini mengalami kerosakan di bahagian hadapannya akibat letupan bom botol atau molotov cocktail hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata kejadian disedari oleh pemilik rumah sekitar jam 1.10 pagi apabila terdengar bunyi letupan dari luar rumah.

Menurutnya, semasa pemeriksaan dilakukan, didapati terdapat percikan api dan pemilik rumah terus keluar untuk memadamkan kebakaran. 

"Semasa sedang bersiap untuk tidur, pengadu terdengar bunyi letupan dari luar rumah dan apabila melihat menerusi tingkap bilik tidurnya, didapati ada percikan api di hadapan rumah.

"Pengadu bersama keluarga terus keluar dari rumah untuk memadamkan api tersebut dan mendapati bahagian hadapan rumah telah terbakar," katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Laporan polis dibuat oleh mangsa selepas api dipadamkan.

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati terdapat lima kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di hadapan rumah tersebut.

"Soal siasat keluarga terbabit juga mendakwa mereka tiada masalah atau hutang dengan ceti haram," kata Lim.

Anggaran kerugian adalah sekitar RM3,500 melibatkan kerosakan pintu kaca, besi jeriji dan kos cat dinding yang terbakar.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian dan usaha mengesan suspek masih dijalankan," katanya.

  • oleh
  • Advertisement