Anda di sini

Petronas Carigali ambil alih pengendalian hab gas E11 di luar pesisir Sarawak

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Petronas, Petronas Carigali Sdn Bhd (PCSB), mengambil alih pengendalian hab gas E11, yang terletak 130 kilometer (km) di luar pesisir Bintulu, Sarawak, berkuat kuasa 1 Januari, 2021.

Hab E11, yang dihasilkan sejak 1982 di bawah Kontrak Perkongsian Pengeluaran Gas Asli Malaysia (MLNG), dikendalikan oleh Sarawak Shell Bhd (SSB) selama 38 tahun.

Naib Presiden Aset Malaysia Petronas Bacho Pilong berkata ini merupakan satu pencapaian yang penting kepada PCSB sebagai pengendali hab E11, untuk memastikan bekalan tenaga yang boleh dipercayai, stabil dan bersih ke pasaran selain terus menjadikan Sarawak sebagai hab gas serantau.

“Bagi pihak Petronas, saya mengucapkan terima kasih kepada SSB yang telah mengendalikan hab gas E11 dengan cekap dan bertanggungjawab selama lebih tiga dekad.

“Saya gembira SSB dan Petronas telah melaksanakan semua aktiviti yang diperlukan sejak Julai 2019 untuk memastikan penyerahan hab E11 yang lancar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis untuk memperingati penyerahan tersebut diadakan di pejabat utama SSB di Lutong, Sarawak, pada 31 Disember 2020, dan tanda simbolik disampaikan kepada SSB oleh Pengurus Besar Kanan Bahagian Gas Sarawak PCSB Peter Majid. - Bernama 

Advertisement