Anda di sini

Peningkatan kes positif COVID-19 perlu dijadikan 'wake-up call'

Advertisement
ISMAIL
ISMAIL

TAWAU: Negeri Sabah masih lagi mencatatkan angka harian kes positif COVID-19 yang sangat membimbangkan dan perlu mengambil serius terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.

Pada Rabu, Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 2,593 orang manakala di Sabah pula peningkatan bilangan kes juga berlaku kepada 405 orang.

Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau (PKMT) Ismail Awang berkata, trend kes positif wabak di Sabah masih tidak berubah dan tiada tanda skala kes COVID-19 ini akan landai.

"Rekod taburan 14 hari kes positif di Sabah bermula 23 Disember 2020 sehingga 5 Januari 2021 lalu mencecah 3,575 kes dan ini perlu dipandang serius.

"Peningkat harian ini perlu dijadikan 'wake-up call' oleh seluruh rakyat Sabah untuk lebih berjaga-jaga kerana ianya juga menunjukkan bahawa penularan kes COVID-19 ini masih tidak terkawal," katanya.

Ismail menyeru seluruh rakyat Malaysia terutamanya di Sabah supaya terus mematuhi dan melaksanakan setiap SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

"Kita tidak boleh leka dan sambil lewa dalam pematuhan SOP, walaupun pihak kerajaan telah memberikan kelonggaran didalam beberapa aktiviti termasuk kebenaran rentas daerah.

"Kelonggaran itu bukan alasan untuk kita tidak mengamalkan kehidupan norma baharu kerana ianya dibuat bagi merancakkan dan meningkatkan semula sektor ekonomi negara," katanya.

Menurutnya, tidak dinafikan ada segelintir masyarakat yang sudah semakin kurang sikap peduli di dalam pematuhan SOP dan ada pihak juga mungkin berkeyakinan vaksin akan diperolehi sedikit masa lagi.

"Namun, itu tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak peka dan melanggar SOP kerana kita perlu prihatin serta bersimpati dengan petugas barisan hadapan yang bertungkus lumus setiap hari mengekang penularan wabak ini," katanya.

Beliau berkata, kelekaan dan kelalaian sudah tentunya akan menyusahkan petugas barisan hadapan dan tidak mustahil jika peningkatan terus berlaku kelonggaran akan ditarik balik oleh pihak kerajaan demi mengekang penularan wabak.

"Kita terpaksa akan menghadapi sekatan jalan raya (SJR), tidak boleh merentas daerah dan tidak boleh sesuka hati keluar rumah tanpa ada alasan yang kukuh.

"Oleh itu, sekiranya tidak mahu perkara itu berlaku lagi, semua rakyat Malaysia harus terus menanamkan rasa tanggungjawab menjaga keselamatan diri dan mengikuti semua SOP yang telah digariskan," katanya.

IZWAN
IZWAN

Bagi Muhammad Izwan, 35, pula peningkatan kes harian COVID-19 baru-baru ini kerana kurangnya kesedaran orang ramai terhadap SOP terutamanya penjarakan fizikal.

"Sekiranya masyarakat terus menerus tidak menitik beratkan soal SOP, selagi itu wabak COVID-19 ini akan memburu setiap mangsanya tidak mengira latar belakang.

"Setiap masyarakat berpotensi menjadi ejen penyebar dan pembawa wabak samaada akan menjangkiti keluarga ataupun rakan-rakan sekiranya tiada kesedaran yang tinggi terhadap pematuhan SOP," katanya.

Menurutnya, tiada cara lain yang dapat menghentikan penularan wabak selain daripada kesedaran kita sendiri yang selalu berjaga-jaga dan peka terhadap penjagaan kebersihan.

"Saya berharap, kita sama-sama menjadi agen penyebar maklumat tentang pematuhan SOP, jangan kita jadi salah seorang agen penyebar wabak dikalangan masyarakat.

"Kita mahukan kehidupan kembali normal bebas ke sana ke sini tanpa rasa takut tetapi kita tidak mahu menjadi sebahagian daripada petugas barisan hadapan yang boleh memberi kesedaran terhadap bahaya wabak ini," katanya.

Izwan berharap semua masyarakat sentiasa menjaga kesihatan diri dan mematuhi semua SOP yang digariskan bagi mengelak berlakunya pelbagai sekatan dibuat semula.

"Sekiranya pelbagai sekatan dilakukan semula, kita harus menerima hakikat lebih ramai masyarakat yang akan terjejas dari segi ekonomi, malah ramai yang akan diberhentikan kerja," katanya.

  • oleh
  • Advertisement