Anda di sini

Penganggur tetak adik dan kakak dipenjara lapan tahun, enam sebatan

Advertisement
Tertuduh diiringi polis di pekarangan mahkamah hari ini.
Tertuduh diiringi polis di pekarangan mahkamah hari ini.

LIMBANG: Mahkamah Majistret di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun dan enam sebatan terhadap seorang penganggur selepas dia mengaku bersalah menetak adik lelaki dan kakaknya dengan sebilah parang di sebuah rumah di Jalan Tebabang, dekat sini, Sabtu lalu.

Majistret A.Akhiruddin @ Boy Acho menjatuhkan hukuman itu terhadap Azmi Abu Bakar, 48, dari Taman Damai, selepas dia mengaku bersalah atas dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap adik lelakinya, 43, dibahagian lengan kiri dan kanan pada jam 9.30 malam Sabtu lalu.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan kepada kakak kandungnya yang berusia 53, dengan melibas menggunakan parang di bahagian leher, pipi dan tapak tangan sebelah kiri.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta yang sama.

Bagi Seksyen 324 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Tertuduh juga didakwa mengikut Seksyen 326A Kanun Keseksaan iaitu penjara dua kali ganda tempoh maksimum yang mana boleh dikenakan atas sabitan bagi kesalahan di bawah seksyen yang relevan.

Tertuduh dalam rayuannya meminta hukuman diringankan kerana tidak mempunyai pekerjaan dan mengalami gangguan emosi ketika kejadian berlaku.

Mengikut fakta kes tertuduh menetak kedua-dua mangsa yang merupakan adik lelaki dan kakaknya di dalam rumah Sabtu lalu menyebabkan mereka mengalami kecederaan dan berlumuran darah sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya, Jayderam Lagan Ating  manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement