Anda di sini

Mahkamah beri amaran keras kepada Najib berhubung "serangan" terhadap Zeti

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengeluarkan amaran keras kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) agar tidak mengulangi “serangan secara maya” terhadap bekas Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Dalam keputusannya, Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata walaupun tidak ada keperluan untuk mahkamah mengenakan “gag order” (perintah sekatan) terhadap Najib, Ahli Parlimen Pekan itu harus  berhenti membuat kenyataan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seolah-olah perbicaraan itu berlangsung dalam domain awam.

“Sehubungan itu, mahkamah ini mengeluarkan amaran keras kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatannya dan mahkamah akan mengambil apa juga tindakan yang perlu bagi melindungi integriti institusi ini,” kata hakim.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan pada Selasa menggesa mahkamah mengenakan amaran keras terhadap Najib kerana melakukan “serangan” ke atas Zeti yang merupakan seorang saksi dalam kes 1MDB, menerusi Facebook beliau.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram membangkitkan isu itu susulan kenyataan Najib dalam hantaran menerusi Facebooknya pada 29 Disember lepas mendakwa Zeti menerima wang daripada 1MDB.

Sequerah berkata kenyataan yang dibuat oleh Zeti dalam kedua-dua temu bualnya tidak mewajarkan tertuduh untuk bertindak balas dengan membuat hantaran melalui Facebook.  

“Apa yang dinyatakan oleh tertuduh dalam hantarannya itu boleh disifatkan, secara keseluruhannya, sebagai satu serangan ke atas saksi,” kata hakim.

 Terdahulu, peguam utama pasukan pembelaan Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menghujahkan bahawa hantaran dalam Facebook Najib merupakan respons terhadap kenyataan Zeti dalam dua artikel yang diterbitkan dalam talian.

“Dalam satu daripada temu bual itu, iaitu dengan portal berita TheEdgemarkets.com yang diterbitkan pada 3 Julai 2018, beliau (Zeti) terus menyerang anak guam saya sehari sebelum pertuduhan terhadapnya berkaitan SRC International Sdn Bhd dibuat pada keesokannya (4 Julai 2018).

“Kenyataan Zeti (semasa siasatan kes SRC International dan 1MDB) dirakam kerana beliau merupakan sebahagian daripada pasukan petugas khas 1MDB yang menyiasat skandal melibatkan dana kekayaan berdaulat itu,” kata Muhammad Shafee.  

“Tan Sri Zeti tahu beliau berpotensi menjadi saksi. Anak guam saya tidak tahu, tapi beliau (Zeti) boleh menjangkakannya,” tambah beliau.

Muhammad Shafee ketika menamatkan hujahnya berkata mahkamah perlu menimbang hak kebebasan bersuara rakyat yang diperuntukkan menerusi Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, dan sama ada isu itu merupakan penghinaan mahkamah. 

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib menghujahkan bahawa satu lagi portal yang menyiarkan temu bual Zeti iaitu euromoney.com, hanya menumpukan pada isu ekonomi.

“Dalam artikel itu tidak ada kenyataan yang boleh dianggap sebagai serangan peribadi ke atas Najib, manakala artikel kedua yang diterbitkan oleh  theedgemarkets.com merupakan jawapan Zeti terhadap dakwaan Najib yang dibuat dalam temu bual sebelum itu.

“Tan Sri Zeti menjawab kenyataan tentang beliau. Malah, pada waktu itu beliau juga tidak termasuk dalam senarai saksi. Jelas, ini merupakan kes menghina mahkamah. Kami memohon mahkamah mengeluarkan amaran agar perkara ini tidak berulang,” katanya.

Dalam hantaran Facebooknya, Najib menggesa Zeti agar menjawab dakwaan sebuah blog bahawa keluarganya menerima RM100 juta daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang turut merangkumi dana 1MDB.

Najib, 67, menghadapi empat pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB serta 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Perbicaraan bersambung 8 Februari. - Bernama  

Advertisement