Anda di sini

Kekerapan penerbangan dari luar negeri ke Sibu dan Miri dikurangkan

Advertisement
 
 

SIBU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memutuskan untuk mengurangkan kekerapan penerbangan dari luar negeri ke Sibu dan Miri.

Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin memberitahu perkara itu diputuskan oleh jawatankuasa tersebut pada 5 Januari lalu.

"Ini berdasarkan permintaan dari pihak Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu dan Miri serta mengambil kira jumlah bilik hotel yang terhad untuk tujuan kuarantin selain peningkatan kes COVID-19 di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

"Maklumat terkini mengenai jadual penerbangan yang diluluskan oleh JPBNS ini akan dihebahkan kepada orang ramai melalui media sosial agar orang ramai mengetahui sepenuhnya perubahan jadual penerbangan untuk merancang perjalanan mereka lebih baik dalam tempoh pandemik COVID-19 yang mencabar di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Lee berkata, susulan keputusan JPBNS, kementeriannya juga telah menulis surat kepada Malaysia Airlines, AirAsia dan MASwings pada 5 Januari mengenai jadual penerbangan diluluskan, yang berkuat kuasa Sabtu ini.

"Namun, untuk penerbangan AirAsia dari Johor Baharu ke Sibu, penerbangan terakhir adalah pada hari Sabtu iaitu 9 Januari ini. 

"Selepas itu, tidak akan ada lagi penerbangan dari Johor ke Sibu sehingga diberitahu kelak," katanya. 

Dalam merancang keseluruhan jadual penerbangan, Lee memberitahu, setiap syarikat penerbangan diberi waktu penerbangan yang berbeza untuk membantu syarikat penerbangan mendapatkan muatan penumpang yang lebih baik untuk penerbangan mereka.

"Saya ingin mengingatkan semua syarikat penerbangan agar hanya menjual tiket penerbangan mengikut jadual penerbangan yang diluluskan oleh JPBNS. 

"Ini penting untuk memberikan perkhidmatan penerbangan yang boleh dipercayai kepada orang ramai di negeri ini. 

"Di samping itu, orang ramai disarankan untuk menempah atau membeli tiket penerbangan berdasarkan jadual penerbangan terbaru yang disetujui JPBNS.

"Syarikat penerbangan diingatkan untuk tidak membatalkan penerbangan yang dipersetujui JPBNS pada saat terakhir untuk mengelakkan sebarang kesulitan dari orang ramai," tambahnya lagi.

tamat
 

  • oleh
  • Advertisement