Anda di sini

'Epilog Cinta' single terbaharu Rachel Wesley

Advertisement
 Rachel, Don, Jun dan rakan-rakan mereka menghadiri majlis pelancaran Epilog Cinta di Voke Cafe, Gaya Street Kota Kinabalu.
PELANCARAN: Rachel, Don, Jun dan rakan-rakan mereka menghadiri majlis pelancaran Epilog Cinta di Voke Cafe, Gaya Street Kota Kinabalu.

PENYANYI Sabahan, Rachel Wesley Pai tampil dengan single terbaharunya bertajuk 'Epilog Cinta' ciptaan komposer muda yang juga berasal dari negeri ini dan dikenali sebagai Don.

Mempertaruhkan genre balada, lagu terbabit dijangka mampu mengangkat lagi nama Rachel untuk lebih dikenali ramai sebagai penyanyi yang berbakat besar di negara ini.

Penerbitnya Alejandro Tingzon Jr Jun melalui Juntingzon Production berkata proses rakaman tidak mengambil masa lama kerana Rachel menguasai lagu itu dengan baik.

"Lagu ini dilancarkan ketika kita berhadapan pandemik COVID-19 dan mudah-mudahan dapat diterima warga pendengar khususnya pecinta muzik tempatan," katanya.

RACHEL WESLEY PAI
RACHEL WESLEY PAI

Jun juga akui teruja dengan projek pembikinan single terbabit dan percaya lagu itu mempunyai kekuatan tersendiri dari segi irama dan lirik yang mesra pendengar.

Menurutnya, kemampuan komposer muda Sabahan seperti Don untuk menghasilkan lagu dan lirik sendiri adalah perkembangan positif untuk industri muzik di negeri ini.

"Epilog Cinta karya segar daripada anak muda Sabah dan setakat ini juga kita dapat melihat maklum-balas positif warga pendengar terhadap single berkenaan," katanya.

Menyentuh projek itu juga, komposer lagu, Don atau nama penuhnya Michidonne Michael berpuas hati dengan penyampaian dan penghayatan Rachel untuk karyanya.

Don menyifatkan Rachel berjaya menyampaikan lagu itu malah optimis pendengar lagu mainstream akan mudah 'jatuh cinta' jika mendengarkan single penyanyi berkenaan.

"Sebenarnya Jun yang memilih Rachel sebagai penyanyi lagu ini, namun saya terus menerimanya kerana penyampaiannya bertepatan dengan maksud sebenar lagu itu.

"Malah, kelebihan vokal Rachel juga menjadi pelengkap untuk Epilog Cinta," katanya, yang menyifatkan kehadirannya untuk memeriahkan lagi industri muzik tempatan. 

Ketika ditemui, Rachel mengaku meletakkan harapan tinggi terhadap single terbaharunya untuk menerima sambutan baik bukan hanya warga Sabah, bahkan di seluruh negara.

"Terima kasih dengan Don dan Jun kerana memberikan kepercayaan dan dukungan tanpa berbelah bahagi apabila memilih saya sebagai penyanyi lagu Epilog Cinta," katanya.

Menurut penyanyi genit itu, pada awalnya beliau dihubungi oleh Jun menerusi pesanan teks di facebook yang memberitahu hendak berbincang mengenai sebuah projek baharu.

Tawaran Jun kepada Rachel supaya membawakan lagu terbabit kemudiannya tidak ditolak, malah disambut dengan terbuka sekaligus melengkapi posisi pelantun vokal.

"Ketika itu saya terus bersetuju sebelum berlatih irama dan lirik Epilog Cinta selepas Jun mengirimkan demo lagu sebagai persiapan untuk memasuki studio rakaman," katanya.

Rakaman dijalankan selama kira-kira satu jam di studio milik Jun dan tidak memakan masa lama kerana rentak balada lagu itu disifatkkannya mudah mesra di telinga.

Ditanya berhubung harapannya juga, Rachel meluahkan hasratnya untuk merakamkan lagu-lagu kontemporari termasuk bergenre balada yang turut menyelitkan unsur Sabah.

"Saya juga berharap menerusi platform capaian lagu yang lebih terbuka di alam maya, ruang pendengar Epilog Cinta juga akan didengar pendengar dari negara-negara jiran.

"Terima kasih dengan semua yang memberikan sokongan termasuk peminat, semoga kita semua menjaga keselamatan dan kesihatan diri daripada pandemik COVID-19," katanya.

Untuk rekod, single terbaharu Rachel itu kini boleh didengar di akaun YouTube milik Don menerusi capaian jaringan https://www.youtube.com/watch?v=JW384HqLdHY.

Advertisement