Anda di sini

Kopi Osing dan cerita kunjungan ke Banyuwangi

Advertisement
"Banyuwangi dikenal sebagai 'sunrise of Java' kerana cahaya matahari menyinari Pulau Jawa bermula dari Banyuwangi yang terletak di hujung paling Timur Pulau Jawa. Ia juga adalah Kabupaten atau daerah terluas di Pulau Jawa dengan keluasan kira-kira 5,782.50 kilometer persegi"
"Banyuwangi dikenal sebagai 'sunrise of Java' kerana cahaya matahari menyinari Pulau Jawa bermula dari Banyuwangi yang terletak di hujung paling Timur Pulau Jawa. Ia juga adalah Kabupaten atau daerah terluas di Pulau Jawa dengan keluasan kira-kira 5,782.50 kilometer persegi"

DI HUJUNG paling timur pulau Jawa, saya pernah menikmati kopi yang dikatakan paling enak di dunia. Kopi Osing. 

Biji kopi digoreng tanpa minyak di dalam kuali tanah liat yang dibakar menggunakan kayu api selama kira-kira 15 minit. Bagi memperolehi rasa kopi yang mantap, biji kopi digoreng tanpa dicuci manakala ukuran biji kopi perlu sama.

Mungkin ini adalah antara rahsia untuk menghasilkan kopi yang enak. Saya mendengar sendiri Pak Iwan, pemilik sanggar Genjah Arum, rumah khas untuk penikmat kopi di Desa Kemiren, Banyuwangi.

 Bertemu Pak Samsudin Adlawi.
BERSAMA BUDAYAWAN: Bertemu Pak Samsudin Adlawi.

Ketika berkunjung ke sana mengetuai rombongan 40 wartawan Asean khususnya  yang banyak menulis mengenai pelancongan, kami dijamu dengan Kopi Osing, sebelum menikmati jamuan makan dan selepas itu menyaksikan tari gandrung.

Kami sempat bertanya Pak Iwan atau nama penuhnya Setiawan Subekti mengenai keistimewaan Kopi Osing, kopi yang tidak kalah nikmatnya dengan kopi dari negara pengeluar kopi yang di Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Latin.

 Kopi luwak antara kopi keluaran Pak Iwan.
TERKENAL: Kopi luwak antara kopi keluaran Pak Iwan.

Pak Iwan sendiri sendiri sudah mengelilingi seluruh dunia untuk melihat proses pembuatan kopi. Kopi Osing bikinan Pak Iwan mempunyai keistimewaanya sendiri. Beliau menyarankan agar kopi diaduk menggunakan senduk kayu berbanding senduk plastik atau tembaga supaya tidak merosak rasa kopi.

Kopi Osing agak kelihatan coklat berbanding kopit hitam.Rasanya terasa sedikit pahit dan membuat rasa ketagih. Walaupun kunjungan ke Banyuwangi sudah lama tetapi keenakan kopinya masih terasa.

 Proses pembuatan Kopi Osing.
PROSES: Proses pembuatan Kopi Osing.

Banyuwangi dikenal sebagai 'sunrise of Java' kerana cahaya matahari menyinari Pulau Jawa bermula dari Banyuwangi yang terletak di hujung paling Timur Pulau Jawa. Ia juga adalah Kabupaten atau daerah terluas di Pulau Jawa dengan keluasan kira-kira 5,782.50 kilometer persegi.

Kunjungan ke Banyuwangi memberikan banyak kenangan manis dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

 Dua wanita kemiren menyediakan kopi Osing.
MENYEDIAKAN KOPI: Dua wanita kemiren menyediakan kopi Osing.

Dalam satu majlis di kediaman Bupati, tanpa disangka saya dijemput untuk menyampaikan ucapan bagi mewakili rakan-rakan wartawan. Saya sebenarnya agak terkejut kerana tidak mempunyai sebarang persediaan. 

Namun saya terpaksa tampil ke hadapan menyampaikan ucapan secara impromptu. Padahal di depan saya bukan calang-calang orang.

Tuan rumah, Bupati Abdullah Azwar Anas adalah antara bupati terbaik di Indonesia dan orang termuda yang dilantik menjadi Bupati iaitu ketika berusia 24 tahun.

Beliau juga pernah menjadi Ketua Umum Ikatan Pelajar Nahdatul Ulama dan pernah menjadi anggota DPR dan MPR.

 Kota Banyuwangi juga dikenal sebagai kota perayaan.
KOTA PERAYAAN: Kota Banyuwangi juga dikenal sebagai kota perayaan.

Seorang lagi tokoh yang hadir pada malam itu, ialah Sandiaga Uno, tokoh yang kemudian menjadi Timbalan Gubernur DKI Jakarta dan selepas itu bertanding sebagai Naib Presiden Indonesia berpasangan dengan Prabowo Subianto yang bertanding sebagai presiden.

Kini beliau menjadi Menteri Pariwisata dan Ekonomi Kreatif. Turut hadir adalah kenamaan sekitar Banyuwangi. Antaranya ialah bos Radar Banyuwangi, Samsudin Adlawi, yang juga penyair dan budayawan.

Saya tidak ingat lagi apa yang saya ucapkan pada malam itu. Tapi lebih banyak mengisahkan pengalaman kami di Banyuwangi dan saya juga menceritakan sedikit perjalan program Fam Trip yang melibatkan wartawan dari seluruh Asean, Malaysia, Singapore, Thailand, Filipina dan Kemboja yang diberi peluang dan kesempatan oleh Kementerian Pariwisata untuk melawat tempat-tempat menarik di Jakarta, Batu, Malang, Gunung Bromo, Banyuwangi dan Bali. Selain dari itu menyatakan penghargaan dan terima kasih atas peluang yang diberikan.

Dalam perjalanan dari Bromo ke Banyuwangi, yang memakan masa beberapa jam, kami sempat singgah makan di sebuah restoran di tepi pantai di Situbondo.

Ketika rakan-rakan berehat melepaskan lelah masing-masing dan selepas menikmati jamuan makan tengahari, saya sempat menyapa pelanggan-pelanggan lain yang berada dalam restoran tepi pantai itu. 

Tidak sedap rasanya jika tidak menyapa mereka. Kebetulan ada diantara kelihatan seperti tertanya-tanya kehadiran kami.

Saya pun memperkenalkan diri  sebagai salah seorang peserta dari Malaysia, jumlah peserta dan dari negara mana dan memberitahu tujuan perjalanan kami.

Selepas bersembang sebentar, kami bertukar-tukar kad nama. Saya tidak menyangka bahawa lawan saya berbicara itu ialah H Dadang Wigiarto, Bupati Situbondo. 

Selepas itu, kami saling berhubung, beliau sering tak lupa menjawab mesej dan WhatsApp saya, sehinggalah telefon saya terkena virus dan banyak nombor hilang.

Saya amat terkejut ketika  mendapat berita pemergian Pak Dadang Wigiarto ke alam sana beberapa minggu lalu iaitu pada 26 November lalu di RSUD dr Abdoer Rahem Situbondo selepas positif COVID-19.

Selepas pertemuan itu kami meneruskan perjalanan ke Banyuwangi. Banyuwangi adalah sebuah kabupaten yang banyak memenangi penghargaan dan anugerah bukan saja di Indonesia malah di dunia.

Banyuwangi terkenal sebagai sebuah daerah dimana rakyatnya memiliki tingkat kesejahteraan yang paling tinggi. Banyak inovasi yang dilakukan oleh Bupati Banyuwangi, Abdullah Azwar Anas yang banyak menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Banyuwangi juga dikenali sebagai kota perayaan kerana mengadakan banyak festival sepanjang tahun iaitu sebelum berlakunya pandemik COVID-19. 

 Rombongan wartawan dari beberapa negara Asean yang menyertai program itu.
WARTAWAN ASEAN: Rombongan wartawan dari beberapa negara Asean yang menyertai program itu.

Antaranya Banyuwangi Ethno Carnival (BEC) Banyuwangi Batik Festival (BBF) Banyuwangi Jazz Festival (BJF), Tour de Ijen, Banyuwangi Expo dan Festival Kuliner dan banyak lagi. Kini ia memiliki lapangan terbang bertaraf antarabangsa. Untuk berkunjung ke Banyuwangi lebih mudah berbanding sebelumnya.

Selepas tiga hari berada di Banyuwangi, kami kemudian terbang ke Bali, meninggalkan banyak kenangan yang tetap tersemat dalam ingatan.

Antara yang tidak dapat dilupakan, salah satunya Kopi Osing.

  • oleh
  • Advertisement