TUMPAT: Kampung Laut dijangka akan menjadi popular, dengan kewujudan projek pembangunan baharu Jambatan Palekbang dan pembangunan semula Kampung Laut sebagai Kampung Warisan, menjelang tahun 2023.
Seorang pengusaha RS Serunding Ismail Salleh, 53, berkata usaha untuk mewujudkan Kampung Warisan berkonsepkan ‘muzium hidup’ itu, dilihat dapat meningkatkan sektor pelancongan di kawasan yang juga dikenali sebagai tapak warisan dunia itu.
Katanya, secara tidak langsung ia juga sekali gus dapat membantu mengubah landskap ekonomi peniaga industri kecil sederhana (IKS), terutamanya peniaga-peniaga serunding serta dodol yang sinonim dengan Kampung Laut.
“Saya mengalu-alukan pembangunan semula Kampung Laut sebagai Kampung Warisan ini, memandangkan ia akan menjadi tarikan pusat pelancongan baharu di kawasan ini, yang seolah-olahnya akan menjadi pusat sehenti kepada pelancong yang datang.
“Malah,dengan wujudnya projek di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) ini, peniaga secara tidak langsung akan memperolehi pasaran yang lebih meluas terhadap hasil jualan berbanding sekarang, dengan kedatangan pelancong di kawasan itu nanti,” katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Laut di sini semalam.
Sementara itu, seorang penduduk Nor Azizah Hassan, 49, dari Kampung Kolam Teratai berkata, pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu itu disifafkan sebagai kemudahan yang sangat diperlukan oleh penduduk di sekitar Tumpat, bagi mengatasi kesesakan jalan raya.
“Pembinaan jambatan ini telah ditunggu oleh rakyat khususnya penduduk sekitar Tumpat sejak sekian lama, memandangkan ia sering sesak, terutamanya ketika waktu puncak pada hari bekerja di waktu pagi dan petang.
“Malah, sebelum ini ketika waktu kemuncak seperti di musim perayaan ia mengambil masa sehingga satu jam setengah untuk ke Kota Bharu, berbanding pada waktu biasa yang hanya sekitar 20 minit,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan di atas keprihatinan kerajaan, kerana memperuntukkan pembinaan jambatan itu bagi memberi keselesaan kepada rakyat, sekali gus bakal menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas yang membelenggu rakyat, sejak sekian lama.
Bernama kelmarin melaporkan pembangunan semula Kampung Laut, sebagai Kampung Warisan yang akan menempatkan Laman Warisan dan Laman Seni, termasuk pemindahan semula Masjid Kampung Laut berusia lebih kurang 300 tahun iaitu salah sebuah masjid tertua di negara, bukan sahaja akan menjadi tarikan pelancong malah memberi peluang kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana tempatan.
Selain itu, pembinaan Jambatan Palekbang-Kota Bharu melibatkan kos RM250 juta dan dijadual siap penghujung Nov 2023 nanti itu, bakal menyelesaikan masalah kesesakan trafik di Jambatan Sultan Yahya Petra ke Kota Bharu. — Bernama