Anda di sini

Tebing batu 'kepala singa' rapuh, perlu dilindungi - MNS Miri

Advertisement
Tebing batu yang dikatakan menyerupai kepala singa ditemui berhampiran Pantai Tusan.

MIRI: Tebing batu yang menyerupai kepala singa di Pantai Tusan, Bekenu rapuh dan akan runtuh pada bila-bila masa seperti yang berlaku ke atas struktur ikonik kepala kuda, Februari tahun lepas.

Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Miri Musa Musbah berkata, struktur kepada singa seperti kepala kuda, bukan batu keras tetapi hanya batu lembut dan berpasir.

“Ini menyebabkan kedua-dua struktur batu singa dan batu kuda amat rapuh dan mudah terhakis.

“Struktur batu pasir yang rapuh menyebabkan hakisan mudah berlaku sehingga menyebabkan runtuhan seperti yang berlaku pada batu (kepala) kuda,” katanya selepas melawat lokasi pembentukan struktur batu singa, kira-kira 20 minit perjalanan dari Pantai Tusan pada Ahad.

Musa Musbah sedang meneliti permukaan tebing batu yang dikatakan menyerupai kepala singa berhampiran Pantai Tusan.
Musa Musbah sedang meneliti permukaan tebing batu yang dikatakan menyerupai kepala singa berhampiran Pantai Tusan.

Katanya, air pasang turut menghakis struktur berkenaan.

Musa menambah, struktur yang rapuh itu menyebabkan ketulan batu jatuh semasa berlaku ribut.

Pada 22 Februari tahun lepas, tebing batu yang strukturnya menyerupai kepala kuda seakan-akan sedang minum air runtuh berpunca daripada ribut.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan usaha melindungi struktur kepala singa dilakukan termasuk membina penahan hakisan bagi memperlahan hakisan selain menghentikan semua projek pembangunan di atas tebingan itu.

Sementara itu, Ketua Kaum Tinggal Bak yang turut meninjau lokasi struktur itu bersama Musa berharap agar kawasan tersebut dilindungi.

“Tahun demi tahun berlaku perubahan di sekitar Pantai Tusan. Saya percaya apa yang dikatakan oleh pakar geologis bahawa tempat ini perlu dipelihara dan dilindungi,” katanya.

Advertisement