Anda di sini

Penghadang akan dibina di pangkalan feri, elak tragedi Triso berulang

Advertisement
Masing ditemani Julaihi meninjau lokasi tragedi Triso.
Masing ditemani Julaihi meninjau lokasi tragedi Triso.

SEBUYAU: Kerajaan Sarawak akan membina pagar penghadang tanjakan pada semua 12 pangkalan feri di Sarawak dalam usaha memastikan insiden Triso mengorbankan sembilan nyawa tidak berulang kembali. 

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr James Jemut Masing berkata, beliau telah meminta Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur Datuk Julaihi Narawi mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan untuk perkara tersebut. 

"Apa yang penting sekarang kita mahu meningkatkan tahap keselamatan yang mana kita akan membina pagar penghadang di semua tanjakan pangkalan feri di Sarawak. 

"Saya telah mengarahkan Datuk Julaihi untuk berbincang bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) serta agensi berkaitan untuk pembinaan pagar penghadang ini agar dapat dilaksanakan dengan segera," katanya pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian tradegi Triso di sini hari ini. 

Malah, tegas Masing kerajaan Sarawak juga akan menugaskan pengawal keselamatan di semua pangkalan feri di negeri ini dalam masa terdekat. 

"Kita sudah maklumankan kepada operator feri dan kerajaan negeri akan menambah kos untuk penugasan pengawal keselamatan ini," katanya. 

Tambahnya, usaha tersebut bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna perkhidmatan feri di negeri ini sekali gus mengelak insiden berulang.

Jelasnya lagi, mesyuarat bersama agensi berkaitan bagi melaksanakan langkah tersebut akan diadakan pada Isnin nanti. 

"Kita mahu perkara ini dilaksanakan dengan kadar segera," ujarnya. 

Baca berita berkaitan

https://www.utusanborneo.com.my/2021/01/01/identiti-korban-pikap-jatuh-s...
 

Advertisement