Anda di sini

Penjualan daging ayam import tidak dibenarkan di Sarawak

Advertisement
Dr Rahman menunjukkan logo halal yang betul dan dibenarkan di negeri ini.
Dr Rahman menunjukkan logo halal yang betul dan dibenarkan di negeri ini.

KUCHING: Tiada daging ayam import dibenarkan dijual di Sarawak buat masa ini. 

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri, Hal Ehwal Islam dan DBKU Dr Abdul Rahman Junaidi berkata arahan tersebut berkuat kuasa serta merta selepas dimaklumkan bekalan daging ayam tempatan adalah mencukupi.

Susulan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak tidak membenarkan penjualan daging ayam import di negeri ini.

"Jabatan Perkhidmatan Veterinar telahpun memberhentikan pengimportan ayam daripada luar negara kerana bekalan dalam negeri mencukupi.

"Jadi seadanya produk-produk dari luar negara berupa produk ayam, maka itu adalah produk-produk yang tidak dibenarkan diimport ke Sarawak," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Selain itu, beliau yang merupakan Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Air) mengesa agensi berkaitan sepertu Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk memperketatkan kemasukan daging ke Sarawak.

"Kita mahu memastikan bahawa daging-daging import yang datang ke Sarawak dapat dikawal supaya tidak berlaku penyeludupan daging seperti yang telah berlaku," katanya.

Jelas beliau, kerajaan negeri menyokong hasrat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menubuhkan Jawatankuasa Perudangan dan Penguatkuasaan Halal yang nanti akan turut disertai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).

"Ini kerana kerajaan negeri amat serius berkenaan isu daging seludup yang berlaku di Malaysia baru-baru ini dan tular di media sosial serta juga disiarkan dalam akhbar tempatan.

"Kerajaan negeri mengambil berat akan hal berkenaan dan menyokong apa jua tindakan perlu oleh pihak berkuasa berwibawa khasnya JAKIM dalam menangani isu berkenaan," katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai logo halal, beliau memberitahu jawatankuasa bertindak bersepadu akan ditubuhkan untuk menjalankan pemantauan.

"Pemantauan akan dijalankan dari masa ke masa ke atas premis yang menguruskan aspek makanan daging dan ayam dari segi kesahihan produk mereka terutama dari status halal.

"Pasukan pemantau ini akan diperkasakan lagi dengan turut disertai polis, kastam, Jabatan Kesihatan dan Jabatan Kimia," katanya.

Beliau selain itu menasihatkan masyarakat Islam di negeri ini agar lebih peka dan bertanggungjawab terutamanya dalam penyediaan makanan yang berasaskan daging dan ayam.

"Pilihlah produk atau premis yang mempunyai persijilan halal Malaysia demi memastikan sumber makanan dan minuman adalah halal dan terbaik," ujarnya,

Advertisement