Anda di sini

Naik taraf IKM kepada universiti bakal perkasa sektor koperasi

Advertisement
Wan Junaidi ketika membuat penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Persidangan Dewan Negara di Parlimen Malaysia hari ini.
 - Gambar Bernama 
Wan Junaidi ketika membuat penggulungan pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 Persidangan Dewan Negara di Parlimen Malaysia hari ini.
 - Gambar Bernama 

KUALA LUMPUR: Langkah menaik taraf Institut Koperasi Malaysia (IKM) kepada universiti sepenuhnya bukan sahaja akan memperkasakan koperasi itu sendiri, tetapi turut memanfaatkan keseluruhan ahlinya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata dengan kewujudan universiti itu ia secara tidak langsung akan membuka peluang kepada ahli koperasi menimba pelbagai ilmu berkaitan koperasi.

"Kami dalam peringkat terakhir untuk menjadikan IKM sebagai universiti dan kami jangka dalam tempoh satu tahun lagi sebelum ia dapat direalisasikan.

"Menerusi langkah ini kami sasarkan 30 peratus daripada pelajaran yang akan diajarkan adalah ilmu berkaitan koperasi termasuk kewangan, pentadbiran serta perundangan supaya setiap ahli mampu mengemudi koperasi mereka masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menggulung Rang Undang-Undang Koperasi (Pindaan) 2020 di Dewan Negara hari ini.

Wan Junaidi berkata sehingga kini terdapat 14,625 koperasi dengan lebih enam juta ahli di seluruh negara.

"Universiti ini bukan sahaja akan mendedahkan ahli dengan ilmu teori tetapi mereka juga akan diberi pengalaman bagaimana mentadbir koperasi sehingga mampu menjana pendapatan bukan sahaja untuk koperasi tetapi juga hasilnya dapat dikongsi bersama ahli," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan mempertimbangkan untuk menamakan universiti itu Universiti Ungku Abdul Aziz sebagai mengenang jasa dan bakti Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid dalam pembangunan gerakan koperasi negara.

Allahyarham Ungku Aziz, 98, meninggal dunia 15 Disember lepas akibat sakit tua. - Bernama 

Advertisement