Anda di sini

Sarawak yakin capai kejayaan besar dalam pertanian, tingkatkan keselamatan makanan negara - Wan Junaidi

Advertisement
Wan Junaidi melihat produk tempatan yang dijual di kedai BA100.
Wan Junaidi melihat produk tempatan yang dijual di kedai BA100.

KUCHING: Sarawak diyakini mampu mencapai kejayaan besar dalam industri pertanian moden menerusi pendekatan yang diperkenalkan termasuk mewujudkan sistem bagi pengurusan rantaian bekalan dari peringkat pengeluaran hingga ke pemasaran sekali gus meningkatkan keselamatan makanan negara.

Perkara itu dijelaskan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang berkata, Sarawak mempunyai kelebihan dan kepakaran dalam bidang itu, sudah membuat sistem berkaitan perkara ini seperti penubuhan Pejabat Pelancongan dan Perdagangan Sarawak (STATOS) di Singapura.

"Jadi kelebihan di situ, Sarawak sudah membuat sistem, kita boleh memasarkan dan menjual produk kita sendiri di sana.

"Saya cukup yakin pertanian di Sarawak akan mencapai kejayaan yang lebih besar kerana Sarawak memainkan peranan sebagai pengurusan rantaian bekalan sampai ke peringkat pemasaran selain membantu dari sudut teknologi moden," katanya pada sidang media selepas melawat Bangunan Pejabat Perhubungan Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa) dan kedai BA100 di Jalan Matang di sini hari.

Tegas Ahli Parlimen Santubong itu, keselamatan makanan sememangnya difikirkan semua pihak termasuk kementeriannya.

Malah, Wan Junaidi berkata, kementeriannya sedang bekerjasama dengan beberapa kementerian lain dalam usaha menggiatkan penglibatan belia dalam industri pertanian yang seterusnya dapat menjamin keselamatan makanan negara.

Jelas beliau, kerjasama ini bertujuan untuk menyediakan dana, bimbingan dan pemantauan terhadap belia-belia yang berminat untuk menceburi industri keusahawanan pertanian.

"Saya mengadakan kerjasama untuk mengambil generasi muda ini dengan membimbing mereka, menggerakkan minda mereka untuk terlibat dalam industri-industri ini,” katanya.

Menurutnya, langkah kerajaan Sarawak menggalakkan penglibatan belia dalam keusahawanan pertanian melalui penyediaan dana, latihan dan membuka pejabat dagangan di Singapura demi untuk meluaskan lagi pasaran produk belia, wajar dicontohi.

"Ikut sahaja apa yang dibuat di negeri Sarawak, saya cukup yakin pertanian mempunyai masa depan yang cerah kerana Sarawak telah memainkan peranannya dengan baik dalam pengurusan rantaian bekalan makanan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan koperasi mengubah penglibatan mereka yang kini masih lagi tertumpu kepada sektor perkhidmatan, terutamanya penyediaan kemudahan kredit, dengan hanya segelintir sahaja terlibat dalam sektor pengeluaran.

"Saya hendak perbetulkan keadaan ini supaya pada tahun-tahun mendatang kita dapat melihat jumlah koperasi dari sektor perkhidmatan ini menguncup dan sektor pengeluaran seperti pembinaan, pengilangan dan pertanian ini meningkat," tegasnya.

Tambah beliau lagi, pada ketika ini sumbangan koperasi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah sebanyak RM45 bilion setahun dan dengan tranformasi koperasi yang dirancang untuk tempoh lima tahun akan datang ia diharap dapat menyumbang sebanyak RM65 bilion kepada KDNK menjelang 2025.

"Pada 2030 nanti kita berharap koperasi oleh menyumbang RM100 bilion KDNK Malayisa, jadi daripada sekarang yang dua hingga tiga peratus sumbangan kepada KDNK itu dapat ditingkatkan kepada 10 peratus atau lebih sememangnya sesuatu yang bagus untuk koperasi," jelasnya.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau memberitahu isu kartel daging yang timbul baru-baru ini seharusnya membuka mata semua pihak tentang perlunya rakyat Malaysia terlibat dalam pengeluaran khususnya makanan halal.

Menurutnya sehingga kini, rakyat Malaysia masih terlalu bergantung kepada produk asas tani import dan sudah tiba masanya bagi mereka terlibat dalam ekosistem sektor pengeluaran makanan.

"Kita mahu lebih ramai belia dan siswazah menganggur menjadi pelopor dalam pertanian. Mereka perlu mengubah corak pemikiran, jangan hanya fokus untuk makan gaji, mereka harus membuka mata terhadap potensi perniagaan yang sangat besar dalam sektor pengeluaran makanan," ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement