Anda di sini

Agihan pendapatan ASB 4.25 sen bagi tahun kewangan 2020

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) hari ini mengumumkan bayaran agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit untuk dana unit amanah utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2020.

Bayaran itu merangkumi agihan pendapatan sebanyak 3.50 sen seunit dan bayaran bonus 0.75 sen seunit.

Selain itu, sempena sambutan ulang tahun ke-30 ASB, PNB turut mengumumkan bayaran ihsan sebanyak 0.75 sen seunit bagi 30,000 unit pertama ASB yang dipegang setiap pemegang unit.

Pengerusi PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata prestasi ASB kekal kompetitif berbanding instrumen pelaburan berisiko rendah yang lain, dan terus menjadi pilihan tepat bagi individu yang mempunyai profil risiko rendah dan menyasarkan horizon pelaburan jangka panjang.

“Sejak beberapa tahun ini, agihan pendapatan ASB secara konsisten kekal kompetitif meskipun FBM KLCI mencatatkan prestasi suram dalam tempoh lima daripada enam tahun kebelakangan ini,” katanya selepas mengumumkan pengagihan pendapatan ASB bagi tahun kewangan 2020 secara maya hari ini.

Agihan pendapatan ASB itu melibatkan pembayaran berjumlah RM7.6 bilion dan memberi manfaat kepada 10.2 juta pemegang unit yang memiliki 173.2 bilion unit.

Sejak dilancarkan pada 1990, agihan pendapatan terkumpul keseluruhan dan pembayaran bonus ASB berjumlah RM159.6 bilion.

Zeti berkata PNB telah mempelbagaikan pelaburan ASB dengan bijak ke dalam kelas aset lain dan pasaran global untuk memastikan dana ini terus memiliki kemampuan untuk memberikan pulangan mampan jangka panjang.

Pelaburan ASB dalam ekuiti awam antarabangsa meningkat kepada 5.9 peratus setakat November 2020 daripada 3.6 peratus pada 2019, manakala pendedahan dan pelaburan antarabangsa ASB ke dalam kelas aset lain -- seperti pendapatan tetap -- melonjak kepada 16 peratus daripada 10 peratus pada 2019.

“Melangkah maju, PNB akan terus menumpukan strategi pelaburan jangka panjang.

“Dalam kata lain, kita akan memastikan PNB tidak akan terganggu dengan ketidaktentuan jangka pendek, dan ia (strategi pelaburan) akan berasaskan penilaian asas-asas kami di samping mengharungi cabaran jangka pendek hingga sederhana secara berhati-hati untuk menjana pulangan mampan bagi para pemegang unit,” katanya.

Dalam tempoh setahun yang amat dipengaruhi oleh kesan COVID-19 ini, nilai keseluruhan aset di bawah pengurusan ASB meningkat 2.7 peratus kepada RM320.5 bilion setakat November 2020 daripada angka pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, jumlah unit dalam edaran bagi 15 dana PNB meningkat 3.4 peratus kepada 263.2 bilion unit, dengan lebih 200,000 akaun baharu didaftarkan tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan akaun sebanyak 14.5 juta, dengan 12.2 juta pemegang akaun unik.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Ahmad Zulqarnain Onn berkata PNB terus membuat kemajuan yang baik dalam pempelbagaian portfolionya, menyelaraskan semula pelaburan secara strategik dari segi geografi dan kelas aset untuk mencapai matlamat pelaburan.

Pendedahan global agregat PNB telah meningkat kepada 11.9 peratus pada 2020 daripada 8.1 peratus pada 2019, dengan sumbangan pendapatan yang lebih besar daripada aset pelaburan globalnya.

Transaksi ASB digantung buat sementara waktu mulai 22 Dis, 2020 hingga 3 Jan, 2021 untuk melancarkan pengiraan agihan pendapatan. - BERNAMA

Advertisement