Anda di sini

GST wajar diperkenalkan dengan kadar tiga peratus

Advertisement
LAU
LAU

SIBU: Ahli Dewan Negara Senator Robet Lau Hoi Yew mengalu-alukan cadangan kerajaan untuk memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, Kementerian Kewangan wajar mengkaji perkara ini dan merancang pelaksanaannya, mungkin dengan kadar GST tiga peratus dan bukannya enam peratus.

Lau memberitahu, ini bertujuan mengelakkan berlakunya kelewatan dalam bayaran balik dan masalah pelaksanaan.

“Penghapusan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bukan sahaja menghapuskan satu sumber pendapatan yang besar bagi negara kita, tetapi juga menghapuskan satu sistem cukai yang efisien dan diguna pakai oleh hampir semua negara di dunia ini.

“Pun begitu saya bukan menyokong pelaksanaan semula GST dengan segera, sebaliknya saya menyokong perancangan penggantian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan GST,” katanya dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 semalam.

Menurut Lau, belanjawan tahun ini harus mengambil kira impak COVID-19 terhadap ekonomi dan masyarakat.

Lau berkata, sebahagian besar daripada belanjawan terpaksa diperuntukkan bagi mengatasi impak dan menentang virus tersebut.

“Saya menyokong peruntukan bagi barisan hadapan dalam usaha menentang pandemik COVID-19, program rangsangan untuk menyokong ekonomi dan bantuan yang diberikan kepada mereka yang telah terjejas, terutama golongan B40 dan mereka yang kehilangan kerja.

“Akan tetapi, akan tiba masanya apabila kita perlu berdepan dengan isu defisit dan hutang negara.

“Caj perkhidmatan hutang (debt service charges) berada pada tahap RM39 bilion atau 12.1 peratus daripada jumlah Belanjawan 2021.

“Ini tidak mengambil kira bayaran balik bagi hutang pokok (principal sum),” jelas beliau.

Katanya, dari segi hasil pendapatan, negara mempunyai sumber hasil tambahan yang terhad.

Ujar beliau, sebanyak 26.5 peratus daripada hasil pendapatan kerajaan datang daripada pinjaman dan penggunaan aset kerajaan manakala cukai langsung dan tidak langsung membentuk 40.9 peratus dan 13.2 peratus masing-masing.

Lau memberitahu, bagi nisbah cukai-kepada-KDNK (tax-to-GDP ratio) ialah sebanyak 12.5 peratus bagi tahun 2018 dan angka tersebut semakin berkurangan dan adalah rendah bagi mana-mana negara.

Bagaimanapun katanya, jumlah hasil kutipan cukai pendapatan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sangat memberangsangkan bertambah setiap tahun.

Justeru, kerajaan jelasnya harus mengkaji struktur ekonomi negara dengan penuh fokus kepada Visi Rancangan Malaysia Ke-12, iaitu Kemakmuran Bersama.

Advertisement