Anda di sini

Dua beradik mengaku salah rogol remaja OKU

Advertisement
 Ming Hua dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen setelah dijatuhi hukuman.
BERSALAH: Ming Hua dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen setelah dijatuhi hukuman.

SIBU: Dua beradik berusia 14 dan 25 tahun mengaku bersalah di mahkamah di sini, semalam atas tuduhan merogol seorang remaja kurang upaya (OKU) pada Jun lepas.

Kong Ming Hua, 25, bersama adiknya didakwa merogol mangsa yang berusia 16 tahun di rumah mangsa di Jalan Stabau.

Bagi pertuduhan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 376(2)(k) Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan juga sebatan.

Ming Hua yang dihadapkan di hadapan hakim Caroline Bee Majanil dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan.

Sementara adiknya yang dihadapkan di Mahkamah Kanak-Kanak di hadapan Majistret Faizal Che Saad dibenarkan bebas dengan ikat jamin RM4,000 berserta ayah mereka sebagai penjamin sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Mengikut fakta kes, pada 5 Disember 2020 kira-kira jam 11.15 pagi, ibu saudara mangsa telah membawa mangsa ke klinik di Jalan Salim untuk menjalani pemeriksaan.

Mangsa kemudian disahkan mengandung enam bulan oleh doktor dan laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya.

Ming Hua kemudian ditahan pada 10 Disember 2020 kira-kira jam 1 pagi di rumahnya di Jalan Stabau manakala adiknya ditahan kira-kira jam 1.45 pagi di Jalan Kampung Nyabor.

Siasatan mendapati Ming Hua telah merogol mangsa sekitar Jun tahun ini di rumah mangsa manakala adiknya merogol mangsa berhampiran sungai di belakang rumah mangsa.

Mangsa dan kedua-dua tertuduh adalah jiran dan saling mengenali selain kerap pergi ke rumah mangsa.

Dalam rayuan, Ming Hua melahirkan rasa kesal dengan perbuatan dan merayu dikenakan hukuman ringan serta tidak dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Aizuddin Masrom memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada orang lain.

“Kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius.

“Perbuatan tertuduh adalah terkutuk kerana mengambil kesempatan terhadap golongan kurang upaya,” ujarnya.

Kejadian katanya, akan memberi kesan berpanjangan kepada mangsa serta ahli keluarganya.

Advertisement