Anda di sini

Insentif bantuan, cabaran 2020 pembangkit semangat PKS pacu daya saing

Advertisement
 

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR: Tahun 2020 terbukti sarat dengan kejutan yang mencabar kalangan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mikro susulan impak COVID-19 dengan kesannya bukan setakat menjejaskan mereka, tetapi turut memberi tempias kepada pekerja serta ekonomi negara.

Walaupun berstatus PKS atau mikro, hakikatnya peranan dan sumbangan usahawan serta sektor ini amat besar, malah data Jabatan Perangkaan menunjukkan PKS mewakili lebih 90 peratus daripada jumlah perniagaan di Malaysia.

Pada tahun lepas misalnya, aktiviti PKS ini kebanyakannya bertumpu dalam sektor perkhidmatan (menyumbang sebanyak 63.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK PKS), diikuti sektor pembuatan (19.8 peratus), pertanian (1.1 per cent), pembinaan (5.6 peratus) serta pengkuarian dan perlombongan (0.5 peratus). 

Menyedari kepentingan peranan mereka, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menzahirkan komitmen kerajaan untuk membantu golongan tersebut meredah cabaran ekonomi, khususnya masalah aliran tunai selain memastikan sektor itu kekal berdaya tahan.

Ini berikutan status PKS sebagai sektor utama dan nadi pembangunan negara dengan merangkumi lebih dua pertiga pekerjaan di Malaysia serta menyumbang hampir 40 peratus terhadap ekonomi.

Bertitik tolak daripada itu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai program bagi menyokong serta memperkasa Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mikro pada 2020, termasuk meningkatkan akses pembiayaan ketika golongan itu bergelut mengharungi impak susulan COVID-19.

Antara usaha itu termasuk bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) serta Pakej PRIHATIN PKS (Tambahan) yang masing-masing diumumkan pada Mac dan April lepas bagi mengurangkan beban kewangan golongan tersebut.

Dua pakej tersebut yang masing-masing berjumlah RM250 bilion dan RM10 bilion, menyediakan kemudahan Bantuan Khas bernilai RM3 bilion, RM700 juta skim mikro kredit dengan kadar faedah sifar melalui Bank Simpanan Nasional, RM2.1 bilion Geran Khas PRIHATIN yang bertujuan memberi manfaat kepada kira-kira 700,000 perusahaan mikro dan RM13.8 bilion Program Subsidi Upah yang memberi faedah untuk 4.8 juta pekerja.

Malah, kerajaan turut mengarahkan institusi perbankan dan agensi kerajaan seperti TEKUN Nasional dan Majlis Amanah Rakyat untuk menawarkan kemudahan moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan.

Selain itu, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) diumumkan pada 5 Jun, turut melibatkan Pelan  Pembiayaan PKS PENJANA yang membolehkan mereka memohon pinjaman modal kerja sehingga RM500,000 daripada bank.

Setakat 27 November lepas, sebanyak 5,301 permohonan dengan nilai pinjaman mencecah RM1.09 bilion telah diluluskan di bawah skim tersebut.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata setakat 27 November itu juga, kerajaan telah menyalurkan bantuan berjumlah lebih RM24 bilion yang memberi manfaat kepada lebih 1.4 juta perniagaan mikro dan PKS.

Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata Suruhanjaya Syarikat Malaysia telah mencatatkan sejumlah 281,781 pendaftaran entiti perniagaan baharu bagi tempoh Mac hingga Oktober, 2020 -- angka yang juga jauh lebih besar daripada 31,190 entiti perniagaan yang memfailkan penutupan bagi tempoh sama.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sebahagian besar daripada entiti perniagaan baharu itu adalah secara pemilikan tunggal dan perkongsian (89.3 peratus), diikuti syarikat (9.8 peratus) dan perkongsian liabiliti terhad (0.8 peratus).

Kenyataan beliau sebagai mengulas laporan memetik Presiden Persatuan PKS Malaysia Datuk Michael Kang Hua Keong yang mendakwa banyak PKS terpaksa gulung tikar sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lepas.

Selain itu, di sebalik realiti 2020 sebagai tahun mencabar untuk kumpulan PKS dan mikro, tahun ini turut terkandung sinar bagi perniagaan itu apabila lebih ramai yang bertindak memperkukuh perniagaan menerusi platform e-dagang susulan PKP serta kekangan akibatnya.

Ini turut diakui oleh Persatuan PKS yang mana kaji selidiknya pada September lepas menunjukkan kira-kira 50 peratus daripada mereka telah berganjak ke arah pendigitalan.

“Selepas PKP, majoriti daripada PKS perlu memulakan semula perniagaan, termasuk menyusun semula usaha masing-masing. Oleh itu, mereka perlu melakukan transformasi perniagaan kepada dalam talian,” kata Kang kepada Bernama.

Bagi membantu mereka, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM140 juta bagi melancarkan Kempen E-Dagang Mikro dan PKS bagi menggalakkan penerapan e-dagang dan Shop Malaysia Online untuk meningkatkan perbelanjaan pengguna.

Inisiatif membabitkan kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia itu telah menjana jumlah jualan melebihi RM1.2 bilion selain membantu lebih 21,000 usahawan mikro dan PKS berkenaan.

Selain itu, terdapat inisiatif Geran Digitalisasi Perniagaan PKS dengan geran padanan RM14.6 juta telah diluluskan untuk 5,087 PKS yang layak.

Di sebalik pelbagai inisiatif, bantuan serta dorongan untuk kelompok itu, bagaimana pula dengan prospek sektor PKS ini?

Menurut Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata masa depan PKS sewajarnya cerah atau positif, seiring dengan jangkaan peningkatan semula ekonomi bagi tahun depan.

“Kejutan ekonomi yang berlaku itu sepatutnya dijadikan peluang untuk mereka meneliti semula strategi perniagaan masing-masing kerana dapat melihat bagaimana kesan kemelesetan itu terhadap perniagaan mereka.

“Pada masa sama, mereka sewajarnya dapat meningkatkan lagi perniagaan terutamanya dari segi pendigitalan jika mahu terus kekal kompetitif,” katanya. - Bernama 

Advertisement