Anda di sini

Turun naik industri getah, lada dan koko

Advertisement

Oleh Lizawati Bahanan

INDUSTRI getah, lada dan koko di Malaysia tidak terkecuali daripada impak pandemik COVID-19 yang bukan sahaja menyebabkan masalah penawaran, tetapi juga permintaan, ditambah dengan kekurangan tenaga kerja dalam sektor pertanian.

Bagi menstabilkan harga agrikomoditi dalam menghadapi cabaran ekonomi yang terus membadai, kerajaan telah melaksanakan beberapa langkah antaranya meninjau pasaran baharu melalui aktiviti promosi dan padanan pasaran baharu dengan pengilang tempatan dan pembeli dari luar negara.

Antara insentif kerajaan untuk membantu sektor getah ialah menerusi Aplikasi RRIMniaga yang boleh digunakan oleh pelesen untuk merekodkan urus niaga getah bagi mempercepatkan proses permohonan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Kerajaan turut melaksanakan Mekanisme Penetapan Harga di ladang dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM6.4 juta sebagai modal pusingan kepada koperasi untuk tujuan urus niaga getah.

Mekanisme ini dapat mengurangkan lapisan pembeli dan menawarkan harga getah sekerap pada purata RM0.10 hingga RM0.20 sekilogram lebih tinggi berbanding pembeli getah lain.

Insentif bagi sektor lada pula ialah menyediakan bantuan Input Pertanian Pekebun Kecil Lada di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Prihatin 2020 berjumlah RM3,000 bagi satu hektar yang diberi secara ‘one-off’ melalui pemberian baucar.

 

Prestasi Industri Getah Kurang Memberangsangkan 

Walaupun prestasi pasaran getah pada tahun ini kurang memberangsangkan dan berdepan dengan pelbagai cabaran seperti masalah pekerja berikutan sekatan perjalanan yang dikenakan untuk mengekang penularan COVID-19, jumlah eksport getah asli (NR) dan barangan getah bagi tempoh Januari hingga September 2020, meningkat kepada RM38.4 bilion berbanding RM29.73 bilion dalam tempoh sama pada 2019.

Bagi komoditi getah, tahun ini menyaksikan eksport meningkat kepada RM25.88 bilion berbanding RM17.25 bilion dalam tempoh sama pada tahun lepas, disumbangkan oleh eksport produk barangan getah.

Bagaimanapun, eksport NR merosot kepada RM4.46 bilion berbanding RM4.52 bilion, diikuti lain-lain produk getah (RM1.0 bilion berbanding RM1.12 bilion) dan produk Heveawood (RM6.70 bilion berbanding RM6.85 bilion).

Data daripada Lembaga Getah Malaysia (LGM) itu disokong oleh laporan Jabatan Perangkaan Malaysia dalam Perangkaan Getah Bulanan yang menunjukkan pengeluaran NR meningkat 3.7 peratus pada September 2020 kepada 46,187 tan berbanding 44,543 tan pada bulan sebelumnya.

Menurut Jabatan Perangkaan, China masih kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli iaitu 46.0 peratus daripada jumlah eksport pada September 2020 diikuti Jerman (13.2 peratus), Iran (3.8 peratus), Finland (3.3 peratus) dan Brazil (3.1 peratus).

Sarung tangan getah merupakan barangan eksport utama dengan nilai eksport meningkat 25.6 peratus kepada RM3.8 bilion pada September 2020 daripada RM3 bilion pada bulan sebelumnya dan antara negara tertinggi untuk eksport sarung tangan getah itu ialah Amerika Syarikat, Jerman dan United Kingdom.

Selain itu, sehingga 16 Nov, 2020, purata harga rujukan tahunan bagi gred Getah Standard Malaysia (SMR 20) sebanyak 535.95 sen sekilogram. Harga tertinggi yang dicatatkan ialah 716.0 sen sekilogram pada 28 Okt, 2020 dan paras harga terendah 449.50 sen sekilogram pada 2 April, 2020.

Bagi lateks pukal (60 peratus Kandungan Getah Kering), purata harga rujukan tahunan mencatatkan 477.80 sen sekilogram setakat 16 November. Harga tertinggi sebanyak 751.50 sen sekilogram pada 2 Nov 2020 manakala harga terendah yang dicatatkan ialah 405.50 sen sekilogram pada 2 April 2020.

Ketua Malaysian Rubber Exchange (MRE) Lembaga Getah Malaysia Ahamad Pazil Ahamad Puad berkata kejatuhan harga dalam pasaran getah Kuala Lumpur sepanjang 2020 adalah disebabkan faktor-faktor seperti kejatuhan harga di pasaran hadapan getah serantau akibat aktiviti penjualan yang ketara dan pengambilan untung.

Selain itu, katanya penurunan harga minyak mentah dunia akibat kebimbangan mengenai permintaan terhadap minyak mentah berikutan gelombang COVID-19 yang melanda negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS), pelaksanaan semula sekatan pergerakan di negara-negara Eropah dan AS berikutan peningkatan kes COVID-19.

Faktor lain ialah pengukuhan ringgit berbanding dolar US, ketegangan hubungan China-AS terutamanya selepas China melaksanakan undang-undang keselamatan negara ke atas Hong Kong dan kebimbangan mengenai impak ekonomi daripada gelombang kedua COVID-19.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menjangka kemelesetan ekonomi dunia pada 2020 dengan kejatuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global kepada -4.4 peratus.

Seterusnya, penurunan permintaan getah asli dunia berikutan Perintah Kawalan Pergerakan untuk mengawal penularan COVID-19 dan kemelesetan ekonomi China pada suku pertama apabila KDNK jatuh kepada -6.8 peratus.

Bagaimanapun, Ahamad Pazil berkata pemulihan harga getah sepanjang tahun 2020 disumbangkan oleh faktor-faktor seperti perkembangan positif mengenai vaksin COVID-19 dan pemulihan ekonomi China termasuk aktiviti pembuatan kenderaan.

“KDNK China pada suku kedua dan ketiga, masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 3.2 peratus dan 4.9 peratus.

“Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM) melaporkan China menyaksikan kenaikan jualan kenderaan sebanyak 12.5 peratus pada Oktober,” katanya.

Selain itu, tambahan pelan rangsangan ekonomi oleh kerajaan sedunia, fasa pertama perjanjian perdagangan antara AS dan China yang ditandatangani pada 15 Jan 2020, ringgit lemah berbanding dolar US pada suku pertama 2020 dan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan getah asli.

“Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) menjangka kekurangan bekalan mentah akan berlarutan sehingga awal 2021 berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu, pengurangan aktiviti menorah getah akibat kawalan pergerakan untuk membendung penularan COVID-19, penyakit daun gugur Pestalotiopsis serta musim daun luruh di Hemisfera Selatan,” katanya.

Selain itu, katanya bekalan getah di pasaran turut terjejas akibat pergolakan politik dan hujan lebat yang berpanjangan di Thailand, banjir di Vietnam serta hujan lebat di sesetengah kawasan penorehan getah di China.

“Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli dalam laporan Natural Rubber Trends & Statistics bagi September 2020 yang dikeluarkan pada 14 Okt 2020 menjangka pengeluaran getah asli dunia pada 2020 sebanyak 12.901 juta tan, merosot 6.8 peratus daripada tahun sebelumnya. 

“Jangkaan permintaan dunia terhadap getah asli pada 2020 sebanyak 12.611 juta tan, berkurangan 8.4 peratus berbanding 2019,” katanya.

Katanya kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk menstabilkan harga agrikomoditi itu dengan meningkatkan kerjasama dengan negara-negara pengeluar utama getah iaitu Thailand, Indonesia dan Malaysia di bawah kerangka ITRC.

Kerjasama itu dijalin untuk memantau pengurusan pengeluaran getah asli serta mengimbangi penawaran dan permintaan getah di pasaran dunia melalui tiga mekanisme utama iaitu Skim Jumlah Eksport Yang Dipersetujui (AETS), Skim Pengurusan Bekalan (SMS) dan Skim Promosi Permintaan (DPS).

 

Lada: Harga Dijangka Meningkat Bermula 2021

Lembaga Lada Malaysia (MPB) menjangka harga lada akan meningkat secara berperingkat bermula 2021 berikutan harga lada telah mengalami penurunan pada 2016 dan 2017 serta berterusan hingga 2020.

Katanya jangkaan ini berdasarkan industri lada global yang dijangka mengalami perubahan trend harga pada setiap lima tahun.

MPB berkata trend peningkatan harga lada ini sekali gus akan menarik lebih ramai pekebun dan usahawan baharu menceburkan diri dalam aktiviti penanaman lada dan seterusnya menggalakkan perkembangan industri hiliran lada.

Katanya sepanjang 2020, harga lada tempatan dan global masih menunjukkan trend yang tidak stabil dengan lambakan stok di pasaran global dan permintaan yang berkurangan terhadap komoditi itu menjadi faktor kepada penurunan harga lada dunia.

“Pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada akhir 2019 turut mempengaruhi pasaran lada antarabangsa,” katanya.

Jumlah pengeluaran lada pada 2020 dianggarkan 30,000 tan metrik berbanding 33,940 tan metrik pada 2019, bagaimanapun, permintaan terhadap lada terutamanya lada Sarawak masih memberangsangkan kerana kualitinya yang tinggi dan aroma yang berbeza berbanding lada dari negara-negara pengeluar lain.

Bagi memastikan lada Malaysia terus mendapat permintaan dan kekal berdaya saing, MPB sentiasa berusaha mempromosikan lada yang berkualiti premium dan meninjau pasaran baharu yang berpotensi dengan penglibatan secara berterusan dalam pelbagai aktiviti promosi dan pemasaran di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Sehingga September 2020, Malaysia telah mengeksport 5,934.33 tan metrik lada. Jepun masih menjadi destinasi utama dengan kuantiti eksport lada dari Malaysia yang tertinggi, sebanyak 2,347.63 tan atau bersamaan dengan 39.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia.

“Ini diikuti negara-negara lain seperti China 1,101.50 tan metrik (18.5 peratus), Taiwan 610.24 tan metrik (10.3 peratus), Singapura 450.22 tan metrik (7.6 peratus) dan Vietnam 357.76 tan metrik (6.0 peratus),” katanya.

Di samping itu, sehingga September 2020, Malaysia telah mengimport lada sebanyak 1,631.89 tan metrik, kebanyakannya dari Vietnam yang mewakili 53.7 peratus bersamaan dengan 875.98 tan daripada jumlah keseluruhan import lada Malaysia.

Antara faktor utama peniaga memilih untuk mengimport lada dari Vietnam ialah tawaran harga yang lebih rendah untuk memenuhi permintaan sebahagian segmen pasaran.

 

Malaysia Kekal Sebagai Pengeluar Koko Kedua Terbesar di Asia 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Lembaga Koko Malaysia Dr. Ramle Kasin berkata industri koko Malaysia kekal sebagai pengeluar kedua terbesar di Asia.

Beliau berkata secara keseluruhannya, pandemik COVID-19 yang telah melanda dunia dan menjejaskan ekonomi dijangka turut memberi impak kepada permintaan terhadap produk koko.

Katanya perolehan daripada eksport biji koko dan produk koko sehingga September 2020 berjumlah RM4.59 bilion, merosot 3.90 peratus daripada RM4.77 bilion dalam tempoh sama pada 2019.  

Bagaimanapun, nilai eksport kulit biji koko, lemak koko dan serbuk koko, masing-masing mencatatkan peningkatan lebih 100 peratus, 2.80 peratus dan 3.40 peratus. 

“Lemak koko merupakan penyumbang utama kepada pendapatan eksport biji koko dan produk koko sehingga September 2020 iaitu sebanyak RM1.89 bilion atau 41.20 peratus,” katanya.

Beliau berkata penghasilan pengisaran biji koko untuk tempoh Januari hingga September 2020 turut mengalami penurunan sebanyak 16 peratus kepada 76,461 tan metrik berbanding 91,197 tan metrik dalam tempoh sama pada 2019. - Bernama 

Advertisement