Anda di sini

Insentif diberikan kepada Macgres dan Nabiatul kerana harumkan nama Malaysia di persada dunia - Manyin

Advertisement
Hasil karya Macgres dan Nabiatul berjaya memenangi anugerah di FECEA, Brazil.
Hasil karya Macgres dan Nabiatul berjaya memenangi anugerah di FECEA, Brazil.

TEBEDU: Insentif akan diberikan kepada dua murid Sekolah Kebangsaan (SK) Temong, Tebedu yang memenangi anugerah filem animasi pada 'Festival de Cinema Escola de Alvorada' (FECEA) di Brazil baru-baru ini. 

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata pemberian insentif itu bagi mengiktiraf pencapaian dua murid berkenaan dalam mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Beliau katanya akan bertemu dengan kedua-dua murid terbabit, Macgres Sawet dan Nabiatul Dania Zulfiqa Mohd Zulfadhli untuk mengucapkan tahniah kepada kerana seterusnya mengumumkan bentuk insentif bakal diberikan.

"Saya akan bertemu dengan mereka dan akan menambah jumlah (wang) yang mereka menangi. Pencapaian mereka sangat besar, anugerah peringkat global dan signifikan untuk komuniti Bidayuh," katanya.

Manyin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu berkata demikian pada majlis pemimpin bersama rakyat di  Kampung Tema Saan, Tebedu hari ini.

Manyin (dua kiri) serta tetamu jemputan lain disambut dengan tarian kebudayaan oleh penari Kampung Tema Saan.
Manyin (dua kiri) serta tetamu jemputan lain disambut dengan tarian kebudayaan oleh penari Kampung Tema Saan.

Macgres dan Nabiatul Diana murid Tahun 5, SK Temong, memenangi anugerah 'Best Film By Popular Jury' bagi kategori sekolah rendah menerusi filem yang diambil dari bahasa Bidayuh 'Batuh Bijanji' yang membawa maksud 'batu perjanjian' mengisahkan kehidupan dua sahabat, Bibi dan Sarah.

Artikel berkaitan: Murid Tahun 5 SK Temong, Serian menang anugerah filem animasi di Brazil

FECEA, festival mengiktirafkan hasil ciptaan audio visual di peringkat sekolah, diadakan secara dalam talian dan diundi dari 17 hingga 28 November 2020 menerusi saluran YouTube FECEA RS.

Majlis penyampaian anugerah itu telah diadakan secada dalam talian menerusi 'Google Meet' pada 28 November 2020 dan piala dimenangi dihantar menerusi pos.

Macgres dan Nabiatul Diana, yang dibimbing Cikgu Wan Zulfadli Ad-Dinnie Wan Azmi dan Cikgu Mohd Reduan Patah, mengambil masa 10 hari untuk menyiapkan filem animasi itu menggunakan  teknik 'rotoscoping' yang digunakan animator  merakamkan gambar bergerak, bingkai demi bingkai, bagi menghasilkan aksi yang realistik.

Projek berkenaan bermula tahun lalu selepas mereka menghadiri bengkel Animasi dan Bercerita Digital dianjurkan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi dengan kerjasama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

Manyin yang ditemui selepas majlis itu memberitahu media, SK Temong telah memenangi anugerah di peringkat negeri dianjurkan kementeriannya dua tahun lalu.

Sekolah itu katanya telah menerima RM10,000 pada tahun tersebut atas pencapaian mereka sebagai tambahan kepada hadiah wang tunai RM2,000 dimenangi ketika itu.

Sementara itu, ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Baharu Gereja St Paul, beliau meminta ibu bapa terutamanya di Tebedu terlibat dalam aktiviti-aktiviti gereja kerana agama memainkan peranan penting membina karektor seseorang.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri, Dr Simon Sinang Bada, Pegawai Daerah Tebedu Joseph Liae dan ketua-ketua masyarakat.

Advertisement