Anda di sini

Daftarkan perniagaan untuk nikmati bantuan kerajaan

Advertisement
 Wan Junaidi (tiga kiri) menyampaikan cek geran MRP kepada penerima pada satu majlis di Lundu, semalam.
BANTUAN: Wan Junaidi (tiga kiri) menyampaikan cek geran MRP kepada penerima pada satu majlis di Lundu, semalam.

LUNDU: Peniaga kecil-kecilan diseru mendaftarkan perniagaan mereka dengan pihak berwajib agar dapat menikmati pelbagai bantuan yang disediakan kerajaan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementerian dan agensi-agensinya misalnya, tidak dapat menyalurkan bantuan kepada peniaga yang tidak berdaftar.

Menurut Ahli Parlimen Santubong itu, dianggarkan terdapat hampir dua juta perniagaan kecil yang masih belum berdaftar di seluruh negara.

“Kami sedar perniagaan Mak Cik Kiah ini sangat terjejas oleh situasi COVID-19. Kami prihatin dengan keadaan mereka dan kami ingin menolong mereka.

“Namun, mereka perlulah mendaftarkan perniagaan agar apa sahaja bantuan yang ada, dapat kita berikan melalui saluran yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kerajaan negeri bernilai RM187,200 khusus untuk pendidikan dan bantuan perubatan kecemasan di Dewan Masyarakat Lundu, semalam.

Dalam memastikan kelangsungan perniagaan di era COVID-19 ini, Wan Junaidi meminta para usahawan untuk membuat persiapan sewajarnya dalam migrasi operasi perniagaan mereka dari tradisional kepada digital.

Katanya, suka atau tidak, pendigitalan adalah normal baharu dan akibat pandemik ini, ramai yang memilih untuk membeli barang secara dalam talian.

Mereka yang enggan berubah seiring dengan waktu dan zaman, mungkin akan menghadapi masalah untuk mempertahankan perniagaan mereka, katanya lagi.

“Namun bagi mereka yang berjaya berhijrah kepada operasi secara dalam talian, saya yakin mereka kini sedang menikmati hasilnya.

“Berdasarkan tinjauan yang telah kami jalankan, ada di antara peniaga-peniaga ini yang menikmati peningkatan penjualan hingga 500 peratus setelah mereka berhijrah ke perniagaan dalam talian,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 28 penduduk dan 55 badan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini menerima bantuan kewangan daripada Wan Junaidi.

Menurutnya lagi, pendidikan dan kesihatan seharusnya diberi tumpuan khusus kerana kedua-duanya merupakan elemen penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat.

“Kesihatan adalah sangat berharga, manakala pendidikan pula dapat untuk membantu seseorang memperbaiki dirinya, baik dari segi ekonomi dan juga rohani.

“Sebagai wakil rakyat, saya akan sentiasa memastikan bahawa kedua-dua elemen ini akan terus diberi perhatian khusus,” katanya.

Advertisement